Takaful Malaysia terima Anugerah Takaful Motor 2021/21 atas khidmat cemerlang kepada pelanggan | DagangNews Skip to main content

Takaful Malaysia terima Anugerah Takaful Motor 2021/21 atas khidmat cemerlang kepada pelanggan

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Nov - Syarikat Takaful Malaysia Am Bhd. (Takaful Malaysia) muncul sebagai pemenang Anugerah Takaful Motor 2021/22 iaitu pengiktirafan tahunan yang diberikan kepada syarikat Motor Takaful terbaik di negara ini. 

 

Dianjurkam sebuah syarikat bebas, iBanding Services Sdn. Bhd. (iBanding) iaitu penyedia pendidikan insurans berasaskan pengetahuan, anugerah itu bertujuan memberikan pandangan yang telus kepada masyarakat berdasarkan pengalaman peribadi pengguna bersama penyedia insurans/takaful mereka.

 

Anugerah Insurans dan Takaful Motor itu ditubuhkan pada 2016 dan merupakan anugerah insurans dan takaful motor bebas pertama di Asia berdasarkan maklum balas pelanggan. 

 

Penganugerahan itu antara lain bertujuan membantu pengguna di Malaysia membuat perbandingan yang lebih baik diantara syarikat insurans dengan memberikan maklumat terperinci yang telus dan neutral mengenai syarikat motor terbaik di Malaysia.

 

“Kami sangat berbesar hati diiktiraf sekali lagi oleh rakyat Malaysia sebagai Syarikat Motor Takaful Terbaik di Malaysia untuk tahun 2021/22. 

 

"Pengiktirafan ini adalah bukti bahawa nilai dan manfaat menarik yang ditawarkan secara konsisten kepada pelanggan takaful motor kami mencerminkan persetujuan para pengguna mengenai jenama dan produk takaful motor kami.

 

"Kami akan terus berusaha untuk menawarkan penyelesaian perlindungan yang kompetitif bagi memenuhi jangkaan mereka sebagai pengguna," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad, Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil, 

 

Kini pada tahun keenamnya, anugerah itu adalah berdasarkan penyelidikan meluas yang dilakukan iBanding dalam menentukan senarai kedudukan syarikat insurans dan takaful berdasarkan maklum balas sebenar pengguna kenderaan bermotor Malaysia yang mempunyai polisi insurans motor sah. 

 

Skor akhir dinilai berdasarkan pelbagai faktor, seperti tahap kepuasan pelanggan, tempoh kesetiaan berurusan dengan syarikat serta pengalaman tuntutan dengan lebih 5,000 rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam kaji selidik tahun ini. 

 

Selain membantu mencari syarikat insurans/takaful terbaik di Malaysia, peserta juga berpeluang memenangi hadiah barangan elektronik dan baucar tunai.

 

“Kedudukan syarikat insurans dan takaful motor membantu pengguna memilih syarikat yang sesuai untuk mereka. 

 

"Sebelum Liberalisasi Tarif Insurans/Takaful Motor, setiap syarikat menawarkan harga insurans yang sama, disebabkan penetapan harga oleh kerajaan dan hari ini pengguna mampu mendapat penjimatan lebih dari 50% jika mereka membuat perbandingan harga. 

 

"Namun, harga yang termurah tidak bermaksud ia adalah yang terbaik. Sama seperti senarai kedudukan hotel, senarai kedudukan yang kami sediakan adalah telus, pemenang anugerah ini adalah benar-benar syarikat yang terbaik di Malaysia," kata Pengarah iBanding, Luke Roho.-DagangNews.com