Takkan nak rampas minyak masak paket daripada makcik jual pisang goreng? - Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Takkan nak rampas minyak masak paket daripada makcik jual pisang goreng? - Perdana Menteri

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Julai - Tindakan peniaga menggunakan minyak masak paket bersubsidi 1 kilogram (kg) untuk tujuan perniagaan termasuk perniagaan kecil-kecilan seperti pisang goreng adalah menyalahi undang-undang.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, adalah zalim sekiranya penguat kuasa mengambil tindakan merampas minyak masak berkenaan daripada peniaga yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan seperti itu.

 

Beliau berkata, minyak masak peket untuk kegunaan rumah tetapi pengusaha-pengusaha restoran besar menggunakannya untuk tujuan komersial dan ia agak sukar untuk dikawal.

 

“Mereka tidak boleh gunakan minyak masak untuk kegunaan jual pisang goreng itu salah, sebab minyak masak peket tidak boleh untuk komersial.

 

“Tetapi adakah penguat kuasa nak saman makcik atau rampas minyak masak mereka? Nanti dituduh kita zalim pula kepada rakyat yang miskin ini yang nak menjual…kais pagi makan pagi.

 

“Jadi, bukan sesuatu yang mudah, ada perkara yang perlu dipertimbangkan, tetapi percayalah kerajaan tidak berdiam diri dan Perdana Menteri tidak boleh dikatakan tidak melakukan apa-apa tindakan. Insya-Allah kita akan lakukan yang terbaik untuk kepentingan negara," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Ismail Sabri mengakui, minyak masak paket bersubsidi sering diseleweng kerana harga RM2.50 terlampau rendah.

 

“Bayangkan harga sebenar RM9, kalau penyeludup bawa keluar jual harga RM5, dia dah untung RM2.50 satu paket, jadi perniagaannya sangat menguntungkan penyeludup.

 

“Sebab itu kita sedang mengambil tindakan punca minyak masak dikeluarkan pengilang. 

 

"Kita akan audit pengilang, kita akan dapatkan perincian, siapa pembeli minyak masak daripada mereka,” katanya. - DagangNews.com