Takut pembuangan pekerja berulang, persatuan industri bantah PKP 1.0 | DagangNews Skip to main content

Takut pembuangan pekerja berulang, persatuan industri bantah PKP 1.0

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Mei - Di sebalik kenaikan ketara jangkitan COVID-19 hingga hampir mencecah 7,000 kes hari ini, persatuan industri terus tampil mempertahankan pendirian mereka untuk menolak perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh. 

 

Tambahan pula, data Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) menunjukkan beberapa impak kepada usahawan jika langkah ini dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan wabak ini. 

 

Pengerusinya, Datuk William Ng berkata, berdasarkan kaji selidik ke atas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sama ada ahli persatuan atau tidak menyaksikan majoriti mereka hanya dapat bertahan sebulan hingga 2 bulan dengan rizab kewangan yang ada.

 

 

William Ng
William Ng

 

 

Malah, katanya, jualan juga merudum sehingga 70% ketika PKP dilaksanakan pada 2020. 

 

"Penutupan seperti yang dicadangkan pihak tertentu juga akan menyebabkan beribu-ribu PKS bankrap yang mana akan mengakibatkan banyak pekerja dibuang. 

 

"Kerosakan kepada ekonomi tidak dapat dipulihkan, terutama pada ketika kita sedang bersedia ke arah pemulihan susulan pelancaran program vaksinasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Baca : Sektor industri tolak PKP penuh, bimbang ekonomi Malaysia runtuh

 

 

Sebagai pertubuhan yang mewakili PKS, persatuan itu, tegasnya, senada dengan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM) dan Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah -Malaysia (EuroCham Malaysia) menentang langkah penutupan penuh ini. 

 

"Kami menyedari wujudnya gesaan daripada rakyat yang mahukan PKP penuh dengan mengambil kira jumlah peningkatan jangkitan ini sejak PKP 3.0 diumumkan. 

 

"Bagaimanapun, jalan penyelesaian yang ada ialah melalui vaksin, tetapi kebimbangan terhadap vaksin masih berleluasa," tambahnya. 

 

Beliau berkata, industri mesti memainkan peranan dengan memastikan pekerja dan anggota keluarga telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19. 

 

"Kerajaan juga akan melakukan yang terbaik bagi membantu kerajaan negeri dan menggerakkan sektor swasta untuk meningkatkan pendaftaran vaksin dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya. 

 

Awal minggu ini, Kementerian Kesihatan bercadang menguatkuasakan PKP secara penuh dan lebih ketat di Selangor sekiranya negeri itu gagal mengekang penularan COVID-19.

 

Namun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan cadangan itu perlu dilihat secara holistik dan kesan sampingan kepada rakyat negeri itu.

 

Malah, beliau turut menafikan kerajaan negeri menolak cadangan PKP secara menyeluruh berikutan kes jangkitan COVID-19 meningkat di Selangor memandangkan untuk melaksanakan tindakan itu hanya boleh diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 

Bagaimanapun, dengan jangkitan baharu semakin meningkat saban hari, terdapat pandangan daripada beberapa pihak supaya PKP penuh dilaksanakan semula.

 

Susulan itu, beberapa pihak terus mengeluarkan bantahan mereka dan antaranya, FMM yang mana persatuan ini menyeru kerajaan meneruskan model PKP 2.0, yang membenarkan sektor ekonomi beroperasi dengan SOP yang ketat.

 

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, antara cadangan kawalan dan sekatan pergerakan yang lebih ketat seperti orang ramai berada di rumah; menjadualkan semula waktu kerja di kilang dengan mengurangkan jumlah mereka yang bekerja berdasarkan penilaian syarikat dan mempraktikkan sepenuhnya kerja dari rumah (WFH) bagi syarikat yang mampu dan mempunyai kemudahan sokongan yang diperlukan untuk melaksanakannya.

 

Selain itu, Presiden Persatuan Pengeluar Peralatan Komponen Automotif Malaysia (MACPMA), Peter Lim, berkata penutupan selama 4 minggu seperti yang dialami semasa PKP 1.0 tahun lepas telah menyebabkan kerugian sebanyak RM1.15 bilion daripada penjualan eksport sahaja.

 

Industri berkenaan pada masa ini menggajikan kira-kira 250,000 pekerja, termasuk profesional seperti jurutera, pereka dan penganalisis data. - DagangNews.com