Oleh Dr. IDRIS OSMAN
PANDEMIK virus COVID-19 di negara ini telah meluaskan fungsi teknologi dalam semua aktiviti di seluruh institut pengajian tinggi (IPT).
Amalan norma baharu dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P), aktiviti kokurikulum dan rangkaian sistem sosial secara digital telah menjadikan persekitaran intelektual semakin mencabar dan kompetitif, terutama dalam pembangunan komunikasi pelajar.
Transformasi digital ini bagaimanapun telah membuka banyak ruang dan peluang kepada warga IPT untuk meneroka potensi dan bakat pelajar dalam berkomunikasi, selari dengan asas pembangunan negara melahirkan lebih ramai graduan yang kompeten dan berkualiti.
Graduan yang kompeten haruslah memiliki tahap kemahiran komunikasi dan pemikiran kritis yang tinggi, serta daya kepimpinan, kreativiti, inovatif dan kerja berpasukan.
Secara praktikalnya, proses P&P yang dijalankan sepenuhnya secara atas talian tidak banyak membantu pelajar dalam pembangunan dan peningkatan kemahiran komunikasi.
Ini kerana reka bentuk dan model P&P yang baharu gagal mencapai standard keperluan kemahiran semasa industri dan keboleh pasaran graduan.
Kesannya, set kemahiran asas pelajar akan kekal berada ditakok yang lama, bersifat ‘outdated’ dan tidak signifikan untuk keperluan jangka panjang.
Sekiranya ia terus berlaku, proses P&P sepanjang hayat tidak dapat berlaku dan merencatkan pertumbuhan fungsi intelektual yang kritikal seperti kognitif, afektif dan psikomotor.
Oleh yang demikian, inovasi P&P sangat penting sebagai program intervensi dalam mengatasi masalah kemahiran komunikasi pelajar IPT, selain mengembangkan potensi terhadap set-set kemahiran asas dan fungsi intelektual secara menyeluruh.
Talent Talk merupakan program inovasi P&P berkonsepkan forum digital yang dibangunkan bertujuan meningkatkan tahap kemahiran komunikasi pelajar IPT.
Program ini dijalankan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka yang melibatkan pelajar sepenuh masa dan separuh masa daripada Program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (kepujian) Pengurusan Sumber Manusia.
Acara ini telah diadakan pada 11 hingga 21 Januari 2021, dan 14 hingga 16 Jun 2021 secara berkumpulan.
Setiap kumpulan mempunyai seramai empat hingga enam orang ahli, dan seorang ahli kumpulan akan dilantik sebagai moderator, manakala selebihnya bertindak sebagai ahli panel.
Setiap kumpulan bebas memilih tajuk atau isu untuk dibincangkan dalam dwi-bahasa, iaitu Bahasa Enggeris dan Bahasa Melayu.
Antara topik-topik yang telah dipilih termasuklah cabaran pembelajaran secara dalam talian, aktiviti kokurikulum semasa pandemik COVID-19, jenayah rogol terhadap kanak-kanak, kesihatan mental, vaksin, kemurungan, jaringan sosial dan pekerjaan separuh masa dalam kalangan pelajar IPT.
Setiap kumpulan diberikan masa selama 20 ke 30 minit menggunakan sebarang bentuk platform digital seperti Google Meet, Zoom, Webex dan lain-lain.
Bagi melihat maklum balas keberkesanan program ini, para pelajar telah diberikan soalan kaji selidik secara dalam talian bagi mengukur prestasi keseluruhan program.
Seramai 181 orang pelajar telah terlibat dalam kajian ini, yang terdiri daripada 41 orang pelajar lelaki (22.65%), dan 140 orang pelajar perempuan, atau 77.35%.
Maklum balas pelajar terhadap keberkesanan program diukur berdasarkan kepada lima tahap, iaitu rendah, sederhana, memuaskan, baik, dan sangat baik. Hasil daripada kajian ini mendapati bahawa lebih daripada 53% pelajar bersetuju bahawa program Talent Talk ini sangat baik dan berkesan, dan telah menepati jangkaan mereka untuk mengatasi masalah komunikasi.
Lebih daripada 37% pelajar menyatakan program ini berada di tahap yang baik atau mudah difahami, berkesan, selesa, berpotensi dan sesuai untuk peningkatan kemahiran komunikasi mereka.
Talent Talk dilihat selari dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang memfokuskan pengukuhan ekosistem pengajian tinggi dan pemerkasaan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dalam mengukuhkan pembangunan modal insan para pelajar IPT.
Menurut menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad, semua warga IPT perlu mengadaptasi kepada teknologi disruptif dalam menyesuaikan modul P&P dengan persekitaran digital untuk melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif.
Di peringkat KPT, Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 bakal dibangunkan bagi mengatasi cabaran pandemik COVID-19.
Menurut Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Shaharuddin Abu Sohot, fokus pelan ini menerapkan elemen kemahiran abad ke-21 dan Future Ready Curiculum atau Kurikulum Tersedia Masa Hadapan yang penting seperti kemahiran literasi teknologi, maklumat dan komunikasi, kreativiti dan inovasi, dan ‘critical thinking’ yang diperlukan oleh industri pekerjaan.
Implikasi Talent Talk dalam proses P&P dalam norma baharu telah menjadikan persekitaran intektual di IPT lebih fleksibel, dinamik dan kompetitif.
Program ini telah membantu kepada pencapaian petunjuk prestasi universiti di mana para pelajar terlibat secara aktif dengan program berbentuk komunikasi.
Di peringkat nasional, program ini dapat melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing yang menguasai kemahiran insaniah dan kecemerlangan akademik yang berkualiti.
Oleh yang demikian, inovasi P&P perlu ditambah baik melalui pelbagai proram intervensi yang sesuai dengan keperluan semasa bagi pembangunan kemahiran insaniah pelajar.
Model P&P bagi setiap kursus perlu disemak semula dan usaha, sokongan dan bantuan perlu diteruskan bagi membantu mengukuhkan pencapaian pelajar yang cemerlang dan berkualiti.
Talent Talk menjadi program inovasi P&P secara digital yang penting terhadap pembangunan graduan yang holistik melalui penguasaan akademik dan aktiviti ko-kurikulum.
Pelajar IPT perlu merebut peluang untuk memperbaiki kelemahan diri dalam meningkatkan kemahiran komunikasi sebagai proses asas pembelajaran sepanjang hajat. – DagangNews.com
Dr. Idris bin Osman adalah Pensyarah Kanan, UiTM Cawangan Melaka