Taliworks terima suntikan RM11 juta bagi keputusan kewangan FY24 daripada bayaran insurans | DagangNews Skip to main content

Taliworks terima suntikan RM11 juta bagi keputusan kewangan FY24 daripada bayaran insurans

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Taliworks Corp Bhd dijangka menerima rangsangan pada tahun kewangan semasa berakhir 31 Dis 2024 (FY24) daripada pembayaran insurans bernilai AS$2.32 juta (RM10.67 juta) berkaitan kos penggantian modul solar di loji solar anak syarikat milik penuhnya. 

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil insurans berkenaan akan diterima pada bulan ini.

 

"Bayaran insurans yang akan diterima kumpulan dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan untuk FY24.

 

"Anak syarikat milik penuh tidak langsungnya iaitu TR CPark Sdn Bhd dan TR Sepang Sdn Bhd telah memeterai tiga perjanjian berasingan bulan lepas untuk penerimaan pembayaran insurans," katanya.

 

Taliworks memulakan FY24 dengan peningkatan untung bersih sebanyak 49% kepada RM15.03 juta dengan kadar air pukal lebih tinggi untuk bahagian rawatan dan bekalan airnya daripada 42 sen per kubik meter kepada 48 sen per kubik meter mulai 1 Januari, 2024.

 

Selain itu, mereka juga mencatatkan hasil yang lebih tinggi daripada syarikat usaha samanya, Grand Sepadu (NK) Sdn Bhd.

 

Ini berlaku walaupun hasil bagi suku tersebut susut 0.2% tahun ke tahun kepada RM93.33 juta daripada RM93.53 juta pada 1QFY23.

 

Kumpulan itu juga telah membayar dividen interim pertama sebanyak satu sen sesaham, berjumlah RM20.2 juta, untuk FY24 pada 28 Jun 2024. - DagangNews.com