‘Tambah’ dan ‘beli’ saham Gas Malaysia - Firma penyelidik | DagangNews Skip to main content

‘Tambah’ dan ‘beli’ saham Gas Malaysia - Firma penyelidik

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Nov. - CGS-CIMB Research dan MIDF Research masing-masing menyarankan untuk ‘tambah’ dan ‘beli’ saham Gas Malaysia Berhad (GMB).

CGS-CIMB menjangkakan perolehan GMB yang dikawal selia akan kekal stabil di bawah tempoh peraturan berasaskan insentif (IBR), tetapi cabang penghantarannya yang tidak dikawal selia mungkin berdepan cabaran penggunaan gas yang lemah. 

“Kami difahamkan bahawa pengubahsuaian hasil IBR bagi FY20 mungkin berlaku pada suku keempat 2020 (4Q20) dan GMB akan melihat perolehan yang kurang pulih disebabkan kekurangan jumlah pertumbuhan yang dibenarkan,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya. 

Firma penyelidik itu mengekalkan sasaran harga (TP) pada RM3.

Sementara itu, MIDF mengekalkan saranan ‘beli’ saham GMB dengan TP tidak berubah iaitu RM3.11 sesaham. 

“Kami berterusan suka GMB kerana pangkalan pelanggan industri yang tinggi dan pelbagai, kadar hasil dividen FY21 tinggi iaitu 5.1% dan tekanan tinggi ke atas pengeluar di seluruh negara untuk menggunakan tenaga bersih seperti gas asli dalam operasi mereka yang kami kira dapat membantu melonjakkan jumlah untuk GMB,” kata MIDF.

Perolehan suku ketiga tahun 2020 (3Q20) GMB berkembang sebanyak 21.2% kepada RM50.9 juta berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Perolehan itu disumbangkan oleh jumlah penjualan gas yang lebih tinggi selain margin sumbangan yang tinggi. 

Ini sekaligus menjadikan perolehan selama sembilan bulan (9M20) GMB mencatatkan nilai RM143.4 juta.

CGS-CIMB berkata, penggunaan jumlah gas berkurangan disebabkan oleh penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendorong pelanggan industri GMB merendahkan kapasiti operasi mereka. 

“Kami menjangkakan jumlah gas yang dijual pada separuh kedua tahun 2020 (2H20) lebih tinggi berbanding 1H20, tetapi pertumbuhan jumlah gas FY20 dijangka kekal negatif disebabkan impak PKP.

“Kumpulan syarikat itu telah berjaya memperbaharui perjanjian jualan gas (GSA) dengan kesemua pelanggan sedia ada pada 1H20.

“GMB menyasarkan untuk mendapatkan 40 hingga 60 pelanggan industri pada FY20 dan setakat 3Q20, telah menandatangani perjanjian dengan 41 pelanggan baharu,” tambah CGS-CIMB. 

Senada itu, MIDF menekankan bahawa perolehan GMB pada tahun kewangan 2020 hingga 2021 akan terus didorong oleh pemerolehan pelanggan baharu selain sumbangan margin gas.

“Walaupun margin bagi kedua-dua Gas Malaysia Distribution Sdn. Bhd. (GMD) dan Gas Malaysia Energy and Services Sdn. Bhd. (GMES) secara umumnya tetap di bawah perjanjian pihak ketiga (TPA), namun margin itu masih mengikut kepada jenis pelanggan. 

“Margin tersebut biasanya lebih tinggi apabila sejumlah pelanggan besar mengambil lebih banyak gas daripada GMB dan sebaliknya,” kata MIDF. - DagangNews.com