Tambah nilai kad Touch 'n Go baharu menggunakan e-dompet tanpa surcaj | DagangNews Skip to main content

Tambah nilai kad Touch 'n Go baharu menggunakan e-dompet tanpa surcaj

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 April - Kumpulan Touch 'n Go (TNG) kini memperkenalkan kad baharu yang membolehkan pengguna menambah nilai daripada aplikasi Touch 'n Go eWallet tanpa dikenakan sebarang surcaj.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Effendy Shahul Hamid berkata, pihaknya berbesar hati dapat memperkenalkan kad versi baharu ini yang dapat mengatasi masalah pengguna untuk menambah nilai selain dilengkapi dengan ciri keselamatan lebih tinggi.

 

"Menerusi kad baharu itu, pengguna kini boleh memilih untuk mendapatkan kad yang boleh ditambah nilai daripada aplikasi Touch 'n Go eWallet," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kad berkenaan boleh didapati pada harga RM10sama seperti kad Touch 'n Go versi lama dan boleh dibeli di aplikasi Touch 'n Go eWallet serta di lokasi runcit terpilih di seluruh negara.

 

Selepas pengguna menerima kad Touch 'n Go yang dinaik taraf, mereka perlu memautkan kad itu ke Touch 'n Go eWallet mereka.

 

Beliau berkata, pengguna hanya perlu memegang kad di belakang telefon pintar yang dilengkapi ciri Near Field Communication (NFC) selama lima saat untuk mengaktifkan kad baharu.

 

Selepas melengkapkan pautan, pengguna kemudian boleh melihat baki kad dan melakukan tambah nilai.

 

Fungsi itu kini tersedia untuk kedua-dua peranti iOS dan Android, dan pengguna boleh memautkan sehingga lima kad Touch 'n Go ke Touch 'n Go eWallet mereka. 

 

"Memandangkan kekurangan cip global, kami menjangkakan permintaan akan melebihi bekalan. Jadi, kami berharap pengguna dapat bersabar menanti kad mereka," katanya. - DagangNews.com