‘Tambah’ saham Maybank - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

‘Tambah’ saham Maybank - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 April - Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research menyemak naik saranan terhadap saham Malayan Banking Berhad (Maybank) daripada ‘pegang’ kepada ‘tambah’. 

 

Dalam masa sama, sasaran harga (TP) bank itu juga ditingkatkan kepada RM9.30 daripada RM7.90, menurut penganalisis di CGS-CIMB, Winson Ng. 

 

Ng membuat saranan itu berdasarkan penilaian positif terhadap sasaran pulangan ekuiti (ROE) tinggi Maybank bagi tempoh lima tahun akan datang, antara 13% hingga 15%. 

 

Katanya, ini menunjukkan komitmen bank itu untuk mengembangkan pertumbuhan keuntungan bersihnya menjelang tahun 2025. 

 

“Oleh itu, kami menaik taraf saranan ke atas Maybank kepada ‘tambah’ dengan pemangkin potensi penarafan semula iaitu unjuran pemulihan pertumbuhan keuntungan bersih teras daripada penurunan sebanyak 18.8% bagi tahun kewangan 2020 (FY20) kepada pertumbuhan 10.5% bagi FY21.

 

“(Dan) jangkaan pengembangan ROE bagi tempoh lima tahun akan datang. Kadar hasil dividen bank itu juga menarik pada kadar unjuran 4.8% bagi FY21,” jelas Ng dalam sebuah nota kajian.

 

Pada 9 April lalu, Maybank menganjurkan Investor Day untuk membentangkan kepada panganalisis mengenai pelan strategik lima tahun bermula 2021 hingga 2025, dikenali sebagai M25. 

 

Tiga tonggak utama kepada M25 adalah digital, pemacu nilai baharu dan kemampanan. 

 

“Walaupun kami positif terhadap Maybank selepas majlis itu, susulan pelaksanaan M25, namun sasaran tinggi ROE oleh bank antara 13% hingga 15% menjelang 2025, kami fikir ia sesuatu yang mencabar untuk mencapainya,” tambah Ng lanjut.

 

Kata Ng, sasaran ROE Maybank itu lebih tinggi daripada unjuran CGS-CIMB, 9.5%.

 

Berdasarkan pengiraannya, Maybank perlu mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) keuntungan bersih lima tahun antara 15% hingga 19% bagi tahun 2021 hingga 2025 untuk mencapai ROE itu. 

 

Pengiraan itu dibuat dengan andaian pembayaran dividen 60%, menjadikan keuntungan bersih sebanyak RM10 bilion hingga RM11 bilion pada FY23, 18% hingga 30% lebih tinggi daripada unjuran CGS-CIMB.

 

Senada itu, penganalisis di Kenanga Research, Clement Chua yakin terhadap aspirasi dibentangkan Maybank. 

 

Katanya, sasaran itu mampu dicapai memandangkan Kenanga mengunjurkan Maybank akan meningkatkan ROE secara organik pada FY22 kepada 10.3%, di mana merupakan paras sebelum pandemik.

 

“Kami mengekalkan penarafan ‘outperform’ ke atas saham Maybank dengan TP lebih tinggi sebanyak RM10.60 daripada RM8.75. 

 

“TP kami mengambil kira, terutamanya ROE yang lebih tinggi iaitu 11%, di mana lebih rendah daripada sasaran pengurusan Maybank berdasarkan jangka masa panjang dan risiko pelaksanaan yang terlibat,” katanya. 

 

Setakat 12.23 tengah hari, nilai saham Maybank meningkat 1 sen atau 0.12% kepada RM8.30. - DagangNews.com