Tambahan dividen RM10 bilion bantu perangi COVID-19 - Petronas | DagangNews Skip to main content

Tambahan dividen RM10 bilion bantu perangi COVID-19 - Petronas

 

 

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah meluluskan tambahan RM10 bilion dividen kepada kerajaan dalam usaha membantu menangani wabak COVID-19. 

Awal minggu ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Petronas akan membayar sebanyak RM34 bilion dividen kepada kerajaan. 

Pada suku kedu,a syarikat minyak itu mengalami kerugian pertama dalam tempoh lima tahun sebelum ini menyatakan akan membayar dividen berjumlah RM24 bilion. 

Malah, sebarang tambahan dividen adalah bergantung kepada kemampuan syarikat tersebut. 

Menurut Reuters, Petronas telah meluluskan tambahan dividen itu yang akan dibayar akhir November ini. 

"Ini sebagai tindak balas terhadap cabaran yang tidak pernah terjadi sebelum ini akibat COVID-19. 

"Petronas juga telah membayar jumlah yang dinyatakan sebelum itu," jelasnya. 

Dalam e-mel kepada Reuters, Petronas berkata, dalam menentukan sama ada dividen ini berkemampuan atau tidak, lembaga pengarah buat pertama kali berpuas hati dengan kedudukan syarikat. 

"Keadaan ini yang mana Petronas dapat membiayai operasi, melangsaikan hutang dan memenuhi kewajipan termasuk melabur dalam pertumbuhan masa depan," katanya. 

Dalam hal ini, Petronas kekal dengan usahanya untuk melindungi aliran tunainya dan memperkukuh daya tahan kewangan dalam menghadapi tempoh mencabar ini. 
 
Sejak penubuhannya pada 1974, Petronas telah membayar RM488 bilion kepada kerajaan dalam bentuk dividen.

Pada 2019, jumlah dividen yang dibayar oleh Petronas adalah sebanyak RM54 bilion, termasuk dividen khas sebanyak RM30 bilion. - DagangNews.com