Tambahan RM45 bilion dana COVID-19 bakal dibentang di Parlimen - PM | DagangNews Skip to main content

Tambahan RM45 bilion dana COVID-19 bakal dibentang di Parlimen - PM

PERUNTUKAN tambahan akan disediakan untuk meningkatkan dan menyegerakan usaha menyaring kes COVID-19. - Gambar oleh Omar Elsharawy

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Kerajaan akan membentangkan penambahan siling Dana COVID-19 sebanyak RM45 bilion, menjadikan jumlah keseluruhannya kepada RM110 bilion untuk kelulusan Parlimen.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peningkatan ini akan membantu memenuhi keperluan tambahan dalam mengatasi krisis COVID-19 dari segi mengukuhkan sistem kesihatan, menambah baik bantuan kepada rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

 

“Bagi mendukung prinsip “Whole of Government” dan “Whole of Society” dalam memerangi pandemik COVID-19 , Menteri Kewangan telah mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk pimpinan parti pembangkang untuk mendapatkan input dan cadangan bagi menambah baik Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

 

“Sehubungan itu, Kementerian Kewangan telah meneliti dan bersetuju untuk menerima beberapa cadangan dan input yang telah diutarakan. 

 

“Sejajar dengan cadangan yang telah diterima, kerajaan akan membentangkan untuk kelulusan Parlimen penambahan siling Dana COVID-19 sebanyak RM45 bilion dari RM65 bilion seperti yang diluluskan oleh Parlimen tahun lalu kepada RM110 bilion,” katanya ketika menyampaikan perutusan Bersama Memulihkan Negara, dengan diiringi Jemaah Menteri, hari ini. 

 

PM
MUHYIDDIN YASSIN menyampaikan perutusan khas Bersama Memulihkan Negara, dengan diiringi Jemaah Menteri, hari ini. 

 

Tambah Muhyiddin, dalam menangani krisis kesihatan COVID-19, peruntukan tambahan akan disediakan untuk meningkatkan dan menyegerakan usaha menyaring kes COVID-19, pengesanan kontak rapat dan pengasingan mereka yang positif atau test, trace and isolate

 

Kerajaan juga akan mengukuhkan sistem kesihatan terutamanya dalam menambah petugas kesihatan serta meningkatkan kapasiti wad unit rawatan rapi (ICU), termasuk penyumber luaran pesakit dari hospital awam ke hospital swasta, selaras dengan pendekatan “Whole of Nation”.

 

“Dari aspek bantuan kepada rakyat pula, kerajaan komited untuk membantu golongan terjejas. Bantuan tunai sebanyak RM10 bilion akan disalurkan kepada 11 juta penerima dalam separuh kedua tahun 2021 (2H21). 

 

“Bantuan tunai bagi mereka yang memerlukannya akan diteruskan pada tahun 2022, bukan sahaja untuk golongan B40 tetapi juga meliputi bantuan bersasar kepada golongan miskin tegar, miskin bandar dan M40 yang kehilangan pendapatan. 

 

“Bagi menyokong kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi, dana tambahan Kumpulan Wang COVID-19 akan digunakan bagi membantu insentif pengambilan pekerja serta meningkatkan pembiayaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), terutamanya dalam meraih peluang ekoran pembukaan semula ekonomi selaras dengan pelaksanaan PPN,” ujar beliau lanjut. - DagangNews.com