Tan Sri Mohd Annuar Zaini dilantik sebagai Pengerusi UDA baharu berkuat kuasa 23 Mac 2023 | DagangNews Skip to main content

Tan Sri Mohd Annuar Zaini dilantik sebagai Pengerusi UDA baharu berkuat kuasa 23 Mac 2023

Tan Sri Mohd Annuar Zaini
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Mac - UDA Holdings Bhd (UDA) melantik Tan Sri Mohd Annuar Zaini sebagai Pengerusi UDA yang baharu berkuat kuasa hari ini menggantikan Datuk Norliza Abdul Rahim.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, pihaknya yakin pelantikan Mohd Annuar dapat membawa UDA bersama-sama kementerian memperkasa golongan usahawan menerusi segmen perniagaannya dan seterusnya menyokong hasrat kerajaan ke arah pembangunan Malaysia Madani.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Mohd Salem Kailany pula berkata, bagi pihak ahli lembaga pengarah, barisan pengurusan, serta seluruh warga kerja UDA, pihaknya menzahirkan penghargaan dan mengalu-alukan pelantikan Mohd Annuar dalam menerajui kepimpinan syarikat. 

 

"Semoga kepimpinan beliau menjadi aspirasi seterusnya memacu kecemerlangan dan kelestarian UDA di masa hadapan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mohd Annuar yang memiliki Ijazah Sarjana Perundangan dan Diplomasi dari Tufts University, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), memulakan kerjaya dalam perkhidmatan kerajaan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1977.  

 

Beliau turut berkhidmat di beberapa kementerian dan jabatan kerajaan di peringkat Persekutuan serta Kerajaan Perak. Pada 1999, beliau memilih bersara secara pilihan daripada jawatan kerajaan untuk menceburkan diri dalam sektor swasta.

 

Pada 2021, beliau dilantik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Waqaf Malaysia, Pengerusi MRCB Land Sdn Bhd (2022) dan menjadi Pengerusi Metropolitan Utilities Sdn Bhd sejak 1993.

 

 

uda
Tan Sri Mohd Annuar Zaini (dua, kanan) menerima pelantikan sebagai Pengerusi UDA baharu daripada Datuk Ewon Benedick (dua, kiri). 

 

 

Beliau pernah diberikan tanggungjawab sebagai Penasihat dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (2007-2009), Pengerusi Bernama (Februari 2004 - Januari 2010), Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Bhd (2001-2004), Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Airline System Bhd (2005-2011).

 

Selain itu, beliau pernah berkhidmat dengan PLUS Expressways Bhd (2007-2012), Tropicana Corporation Bhd (2010-2015), Ahli Lembaga Pengarah (Bebas dan Bukan Eksekutif) Manulife Holdings Bhd, Manulife Insurance Bhd dan Manulife Investment Management (M) Bhd (2011-2020). - DagangNews.com