Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 20 Okt. - Hampir saban hari ada saja laporan mengenai syarikat yang terpaksa gulung tikar, mengurangkan pekerja dan di sebalik berita ini, lebih menarik ada juga suara-suara yang meminta kenaikan gaji dan bonus pada ketika negara berdepan gelombang ketiga COVID-19.
Apa yang dibimbangkan ketika ini, bukan sahaja golongan penganggur sedia ada sebanyak 741,600 orang dengan kadar pengangguran pada paras 4.7% akan mengalami tekanan kewangan tetapi juga melibatkan mereka yang berada dalam kelompok underemployment.
Penganalisis melihat keadaan ini akan meningkat pada masa hadapan sekiranya tiada sebarang usaha diambil oleh kerajaan.
Menurut Presiden Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, mereka yang dalam kategori underemployment ini dijangka merangkumi lebih daripada 3 juta pekerja jika mengambil kira keseluruhan 15.15 juta tenaga buruh di negara ini.
"Daripada jumlah itu, 1.6 juta adalah pekerja sektor awam, 2 juta pekerja asing yang sah dan 8 juta pula mereka yang bekerja di sektor swasta, maka selebihnya adalah mereka yang berada dalam kelompok itu.
"Jika diikutkan jumlah mereka juga besar dalam pasaran buruh. Ini akan memberi kesan buruk pada pihak kerajaan dan negara sebab ia akan menjadi cabaran besar jika underemployment jadi dua digit.
"Data ini tidak diambil kira dalam kadar pengangguran, kerana jika tidak pastinya ia lebih tinggi," katanya kepada DagangNews.com hari ini.
Beliau berkata, jika tidak ditangani akan lebih ramai terkeluar daripada pekerjaan rasmi sekali gus mendorong berlakunya keresahan sosial dalam kalangan masyarakat.
Katanya, keadaan ini turut dihadapi oleh negara-negara lain dan bukan sahaja berlaku di Malaysia.
"Kita faham kerajaan menyediakan pelbagai bantuan dan subsidi bagi mereka membantu mereka tetapi ini hanya bersifat sementara," ujarnya.
Sepanjang minggu lalu, media melaporkan beberapa langkah penstrukturan korporat terutama dalam industri penerbangan yang akan menyaksikan ribuan pekerja bakal hilang sumber pendapatan. Ini termasuklah golongan profesional dan berkemahiran tinggi.
Kerajaan menyasarkan kadar pengangguran di Malaysia akan menurun kepada 4.5 peratus menjelang Disember ini susulan pelaksanaan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Sementara itu, penyelidik ekonomi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Adli Amirullah berkata, walaupun kadar pengangguran tidak meningkat pada Ogos, situasi ini masih membimbangkan kerana masalah underemployment menjadi lebih runcing.
Jelasnya, golongan underemployment ini maksudnya adalah mereka yang bekerja di bawah kelayakan.
"Contohnya, mereka merupakan pekerja eksekutif, disebabkan mereka dibuang kerja, mereka bekerja sebagai bukan eksekutif dan sanggup menerima pendapatan yang jauh lebih rendah kerana mahu meneruskan kehidupan.
"Perkara ini tidak dapat ditangkap di dalam data, justeru, kerajaan harus peka mengenai masalah underemployment dan bukan bergantung semata-mata pada kadar pengangguran sahaja," katanya.
Ditanya mengenai tekanan kewangan dalam kalangan isi rumah, Adli berkata, ia sebenarnya amat tinggi dan merisaukan kerana ia membuktikan kebanyakan rakyat Malaysia hidup dengan berhutang.
Mengikut BNM, nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat melepasi kemuncak sebelum ini 86.9% pada 2015 kepada 87.% setakat Jun 2020 berikutan penguncupan mendadak dalam KDNK nominal pada suku kedua.
"Antara hutang paling banyak adalah hutang rumah. Jadi, tidak peliklah bila moratorium sudah tamat tempoh, ramai rakyat merasa terbeban.
"Bagaimanapun, moratorium ini memang memberi sedikit ruang untuk rakyat bernafas, tetapi ia tidak menyelesaikan masalah ekonomi yang sedang melanda kita ketika ini," katanya.
Menurut Adli, bagi memastikan golongan yang layak menerima bantuan moratorium ini, kerajaan perlu menggunakan data Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sedia ada dan bekerjasama dengan pihak bank dan BNM.
"Ini kerana kita tak mahu moratorium ini disalahguna oleh golongan kaya T20. Ada kalangan mereka mengambil kesempatan tidak membayar hutang dan menggunakannya untuk melabur dan membuat untung lagi banyak sekali gus meningkatkan lagi jurang pendapatan antara yang kaya dan miskin," tegas beliau.
Minggu lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Pertama 2020 mendapati hutang isi rumah meningkat paling ketara dalam kalangan mereka yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan pada dalam tempoh itu di tengah-tengah prospek ketidaktentuan pendapatan serta ketika penampan mudah tunai untuk peminjam berpendapatan kurang RM3,000 sudah di paras ketara.
Selain itu, walaupun persekitaran pasaran tenaga kerja dijangka bertambah baik pada masa depan, peminjam dengan pelbagai pendapatan atau bekerja dengan sektor terjejas, dijangka terus berdepan cabaran. - DagangNews.com