Tangguh atau hapuskan cukai 'tidak adil' industri minyak sawit - seru MEOA | DagangNews Skip to main content

Tangguh atau hapuskan cukai 'tidak adil' industri minyak sawit - seru MEOA

Minyak sawit

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA) meminta agar cukai yang disifatkan sebagai 'tidak adil' dalam industri minyak sawit ditangguh atau dihapuskan.

 

MEOA dalam satu kenyataan berkata, cukai berkenaan adalah hasil kutipan cukai keuntungan luar biasa (WPL) ke atas minyak sawit mentah (MSM), 7.5% cukai jualan di Sabah bagi penjualan MSM dan 5% cukai jualan di Sarawak bagi jualan MSM serta isi rung sawit (CPKO).

 

"Cukai berkenaan secara kolektifnya berjumlah RM1.3 bilion pada tahun 2019 ketika harga MSM rata-rata pada kadar RM2,079 per tan.

 

"Berdasarkan angka pengeluaran pada 2019 bersama andaian harga MSM sebanyak RM3,200 satu tan, MEOA menjangkakan cukai berkenaan akan memberi hasil yang tinggi sebanyak RM2.8 bilion setahun," jelas MEOA dalam satu kenyataan hari ini.

 

Laporan The Edge yang memetik maklum balas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu, pelaksanaan cukai keuntungan yang luar biasa ke atas syarikat sarung tangan adalah satu dasar yang tidak konsisten selain membuatkan pelabur berfikir dua kali sebelum membuat keputusan pelaburan di negara ini.

 

Semalam, DagangNews.com melaporkan kutipan cukai daripada sektor minyak sawit pada 2021 mungkin mencecah RM500 juta sekiranya harga minyak sawit mentah (MSM) kekal di atas paras RM3,000 per tan.

 

Baca: Kerajaan dijangka raih RM500 juta levi keuntungan sawit 2021

 

WPL dikenakan di Semenanjung Malaysia apabila harga MSM melebihi kadar RM2,500 per tan.

 

Manakala di Sabah dan Sarawak pula, WPL akan dikenakan apabila harga MSM melebihi RM3,000 per tan.

 

Dengan andaian harga  MEOA RM3,200 per tan, MEOA menganggarkan RM760 juta dapat dikumpulkan dalam masa setahun.

 

Di Sarawak, cukai jualan MSM dan CPKO berjumlah RM520 juta pada tahun 2019.

 

Bagi negeri Sabah pula, MEOA menyeru agar kerajaan negeri berkenaan mempertimbang kemungkinan penurunan atau penghapusan 7.5% cukai jualan MSM yang dianggar bernilai RM791 juta pada 2019.

 

"Memandangkan cukai itu adalah ke atas hasil berbanding keuntungan, mengikut pengiraan MEOA, jumlah itu melebihi 44% daripada keuntungan ekonomi pada 2019 ketika harga MSM rendah," jelas MEOA lagi. - DagangNews.com