Tanjung Bruas Port hantar kargo pertama pelet kayu | DagangNews Skip to main content

Tanjung Bruas Port hantar kargo pertama pelet kayu

 

 

 

KUALA LUMPUR 8 Jun - Tanjung Bruas Port Sdn. Bhd. (Tanjung Bruas Port), ahli kumpulan MMC Corp. telah memulakan penghantaran pelet kayu (wood pellets) dari Terminalnya di Tanjung Kling, Melaka.

 

Ini merupakan penghantaran pelet kayu yang pertama melalui Pelabuhan Tanjung Bruas.

 

Sebanyak 10,200 tan metrik dieksport dari Tanjung Bruas Port pada 29 April lalu dan telah selamat tiba di Pelabuhan Gunsan, Korea Selatan pada 9 Mei 2021. 

 

Eksport pelet kayu ke Korea Selatan dari Melaka akan meningkat kepada 2 penghantaran setiap bulan.

 

Pelet Kayu merupakan sejenis bahan bakar Biomas yang sedang meningkat penggunaannya di seluruh dunia, di mana ia digunakan sebagai tenaga hijau di loji janakuasa. 

 

Malah, ia merupakan bahan bakar pelet yang paling biasa dan umumnya dibuat daripada habuk papan yang dipadatkan.

 

Pelabuhan Tanjung Bruas mampu mengendalikan pelbagai jenis kargo seperti kargo Pukal Kering seperti Gipsum (sejenis mineral) dan Tempurung Kelapa Sawit (PKS), kargo Pukal Cerai seperti Keluli (Steel Coil) dan kargo Pukal Cecair seperti Minyak Asas Pelumas dan Gas Amonia.

 

Pengarah Tanjung Bruas Port, Md Derick Basir berkata, penghantaran kargo pelet kayu pertama dari Pelabuhan Tanjung Bruas ini jelas membuktikan kemampuan Pelabuhan Tanjung Bruas dalam mengendalikan pelbagai jenis kargo. 

 

Katanya, ia juga dapat melakukan penghantaran kepada bukan sahaja pelanggan di dalam negara, malah kepada pelanggan antarabangsa.

 

"Dari segi masa yang diperlukan untuk operasi pelet kayu, ia berjalan lancar walaupun Pelabuhan Tanjung Bruas berdepan cuaca buruk, hanya 88.8 jam operasi yang diperlukan oleh Pelabuhan Tanjung Bruas untuk berjaya menyelesaikan keseluruhan operasinya," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Living Nature Sdn. Bhd., yang juga pemilik dan pengeksport kargo, Andy Eng berkata, penghantaran kargo pelet kayu dari Melaka ke Korea Selatan adalah suatu kejayaan di mana kemampuan dan kecekapan operasi Pelabuhan Tanjung Bruas dalam mengendalikan pelet kayu dan menjadikan keseluruhan proses penghantaran berjalan lancar dan memuaskan. 

 

"Kami sangat gembira melihat kemajuan pelabuhan ini dan kami sangat yakin bahawa Pelabuhan Tanjung Bruas berpotensi besar untuk menjadi Pelabuhan Pintu Masuk (Gateway Port) bagi pemain industri Melaka dan perniagaan sekitarnya,” katanya.

 

Dengan lebih banyak negara memilih tenaga biomas, Malaysia berpotensi menjadi Hab Tenaga Biomas dan Pelabuhan Tanjung Bruas akan terus menyokong negara ini untuk menjadi salah satu pembekal pelet kayu terbesar di rantau ini.

 

Terletak secara strategik di sepanjang salah satu laluan perdagangan tersibuk di dunia, Pelabuhan Tanjung Bruas telah berkembang dan berpotensi besar untuk dikembangkan sebagai Gerbang utama untuk mengendalikan kedua-dua kargo iaitu kontena dan kargo konvensional bagi memenuhi permintaan industri yang berkembang di Melaka dan wilayah tengah Semenanjung Malaysia dan juga negara-negara jirannya. - DagangNews.com