Tanpa kilang sawit, keupayaan FGV kritikal | DagangNews Skip to main content

Tanpa kilang sawit, keupayaan FGV kritikal

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Nov. - FGV Holding Bhd. menegaskan belum menerima sebarang notis rasmi daripada Felda berhubung penamatan perjanjian pajakan tanah (LLA) yang diumumkan kerajaan, Oktober lalu.

 

Felda yang memiliki 33.66% pegangan dalam FGV sebelum ini dilaporkan berhasrat untuk mengambil semula tanah LLA seluas 350,733 hektar beserta 68 kilang sawit milik syarikat perladangan itu.  

 

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan menjelaskan, perjanjian itu hanya melibatkan pajakan tanah kepada FGV selama 99 tahun bermula dari 1 November 2011 dan bukannya kilang sawit. 

 

"Sekiranya kami menerima kenyataan rasmi dari Felda, sudah tentu pihak FGV dan Felda akan mengeluarkan kenyataan bersama tetapi sehingga ke hari ini, ia masih lagi dianggap sebagai 'status quo'.

 

"Bagi kilang sawit ini pula, jika ada pihak yang berminat untuk membelinya, transaksi ini harus dilakukan secara komersial iaitu antara pembeli dan penjual kerana tidak termaktub di dalam LLA. 

 

"Tetapi perkara ini juga tidak ada lagi kenyataan rasmi dikeluarkan," jelas beliau dalam sidang akhbar prestasi kewangan FGV pada suku ketiga secara maya hari ini. 

 

Haris Fadzilah
Haris Fadzilah

 

Pada 30 Oktober lalu, Pengerusi Pasukan Petugas Khas Felda, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pampasan yang akan diberikan berikutan keputusan kerajaan menamatkan LLA adalah lebih rendah berbanding anggaran yang dibuat FGV antara RM3.5 hingga RM4.3 bilion. 

 

Bayaran pampasan itu juga termasuk semua kilang sawit milik FGV.

 

FGV pula sebelum itu menganggarkan jumlah pampasan tersebut adalah berdasarkan penilaian dalaman yang akan berbeza bergantung kepada prestasi kewangan FGV bagi 2020 dan 2021 serta pelbagai faktor lain.

 

Haris Fadzilah berkata, sekiranya Felda berhasrat untuk memiliki kilang-kilang sawit itu, ia akan menyebabkan kedudukan FGV kritikal dari segi keupayaan memproses tandan buah segar (TBS) dan juga perancangan FGV untuk melangkah lebih jauh dalam industri hiliran. 

 

Setakat ini, TBS dari tanah LLA hanya menyumbang 30% kepada hasil FGV manakala 30% dari peneroka dan selebihnya pembekal pihak ketiga. 

 

"Tanpa tanah LLA ini, kami masih perlu memproses 70% TBS dan ini menyebabkan keupayaan FGV lebih kritikal pada masa hadapan," katanya. 

 

Beliau bagaimanapun, tidak memberi anggaran sebenar harga kilang sawit tersebut sekiranya ia perlu dijual kepada Felda.  

 

"Ini kerana ia bergantung kepada penilaian yang perlu dibuat. Berdasarkan penilaian pasaran, jika kita mahu membina sebuah kilang sawit yang baru hari ini, secara kasarnya setiap metrik tan adalah RM1 juta. 

 

"Jadi kalau kilang berkapasiti 60 juta tan metrik, maka harga pasaran ialah RM60 juta untuk kilang tersebut," jelas beliau. 

 

Haris Fadzilah juga memberitahu, setakat ini pihaknya telah membuat penilaian dalaman dan akan melantik penilai bebas sekiranya perbincangan itu bermula. 

 

Mengenai anggaran bayaran pampasan pula, katanya, Felda tidak memberi sebarang jumlah yang spesifik, sebaliknya ia harus bergantung kepada apa yang telah termaktub di dalam perjanjian tersebut. 

 

Secara dasarnya, formula yang digunakan adalah bergantung kepada prestasi aset tersebut dan dalam hal ini ia merujuk kepada tanah LLA dan tempoh 18 bulan notis juga adalah satu jangka masa yang panjang. 

 

Mengenai perancangan FGV selepas LLA ini, beliau berkata, kumpulan akan memberi fokus kepada perniagaan teras iaitu perladangan, logistik dan gula termasuk dua segmen baharu iaitu pertanian bersepadu dan barangan pengguna bergerak pantas (FCMG) dalam usaha meningkatkan aliran pendapatannya. 

 

"Kami berpendapat FGV mempunyai kapasiti untuk menjadi pemain dalam sektor ini memandangkan Malaysia berdepan cabaran dari segi jaminan makanan dan kami boleh memainkan peranan ini," katanya. 

 

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai hasrat yang dikemukakan Tan Sri Syed Mokhtar menerusi Perspective Lane (M) Sdn. Bhd., beliau berkata, pihaknya sudah menerima surat rasmi daripada pihak terbabit. 

 

"FGV kini sedang dalam proses untuk menentukan aset terlibat (tidak termasuk Central Sugars Refinery Sdn. Bhd.), hanya melibatkan aset perladangan," jelas beliau. 

 

Awal November lalu, FGV mengesahkan menerima surat daripada Felda menyatakan ia menolak sebarang cadangan yang akan menyebabkan pencairan pegangan sahamnya di dalam FGV.

 

Menurut FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengarah-pengarah FGV ada menerima surat daripada pengerusi Felda yang menyatakan lembaga pengarah Felda tidak akan menyokong sebarang cadangan yang akan menyebabkan pencairan pegangan sahamnya di dalam FGV. - DagangNews.com