KUALA LUMPUR 7 Ogos - MIDF Research menurunkan taraf saranan Hartalega Holings Berhad kepada 'Neutral; daripada 'Beli' dengan harga sasaran yang lebih rendah iaitu RM2.52 sesaham daripada RM4.45 sebelum ini.
Firma penyelidikan itu berkata, ini bertepatan dengan pengumuman keputusan kewangan suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25) kumpulan Hartalega semalam.
"Kami berasa lega dengan fakta bahawa aktiviti pengisian semula telah disambung berikutan pengurangan stok pandemik. Walau bagaimanapun, kami faham masih terdapat kapasiti berlebihan di pasaran.
"Kami berpendapat ini akan memaksa kumpulan untuk menjadi lebih kompetetif dalam penetapan harga kerana nampaknya tiada ruang yang banyak untuk kumpulan meneruskan kenaikan kos kepada pelanggan.
"Oleh itu, untuk mengekalkan volum pengeluaran yang sihat, kami menjangkakan margin keuntungan akan kurang daripada 10% dalam tempoh yang dapat diramalkan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Walaupun begitu, MIDF Research faham bahawa terdapat usaha aktif untuk menjadi lebih cekap dari segi operasi melalui kilang NGC1.5 di Sepang dengan penggunaan teknologi baru yang berpotensi memberikan margin operasi yang lebih baik.
ARTIKEL BERKAITAN: Hartalega kembali catat untung bersih RM32 juta bagi 1QFY25 didorong peningkatan purata harga jualan
Justeru, berdasarkan prestasi 1QFY25, MIDF Research mengurangkan anggaran pendapatan FY25 dan FY26 sebanyak -25% dan -9.1% kepada RM191.3 juta dan RM268.0 juta.
"Pengurangan dalam ramalan pendapatan kami adalah berdasarkan andaian margin keuntungan yang lebih rendah," jelasnya.
Menurutnya, keuntungan Hartalega untuk 1QFY25 sebanyak RM40.4 juta adalah satu peningkatan daripada kerugian sebanyak -RM58.9 juta setahun lalu.
Kata firma tu, ini disokong peningkatan kadar penggunaan kepada lebih 80% serta sedikit kenaikan dalam harga purata jualan (ASP) yang menyebabkan pendapatan lebih tinggi sebanyak RM583.8 juta (+32.7% tahun ke tahun).
"Perlu diambil maklum bahawa kapasiti pengeluaran sarung tangan keseluruhan telah berkurangan kepada 32 bilion keping daripada 44 bilion keping selepas penutupan kilang di Batang Berjuntai.
"Walau bagaimanapun, kapasiti keseluruhan dijangka meningkat semula kepada 37 bilion keping menjelang akhir FY25 melalui pengoperasian NGC1.5 (iaitu Kilang 8 dan 9) di Sepang.
"Secara keseluruhan, prestasi kewangan kumpulan untuk 1QFY25 adalah lebih rendah daripada jangkaan dan merangkumi 17.9% daripada unjuran tahunan kami," ujarnya. - DagangNews.com