Taraf saranan Malaysia Smelting Corp diturunkan kepada ‘jual’ ekoran prestasi FY23 lemah – Malacca Securities | DagangNews Skip to main content

Taraf saranan Malaysia Smelting Corp diturunkan kepada ‘jual’ ekoran prestasi FY23 lemah – Malacca Securities

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb - Malacca Securities menurunkan taraf saranan saham Malaysia Smelting Corp Berhad (MSC) kepada ‘jual’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM1.82 sesaham daripada RM2.02 sebelum ini berikutan prestasi tahun kewangan 2023 (FY23) yang lemah.

 

Keuntungan bersih syarikat pelombong dan pelebur timah itu menyusut 13% kepada RM85.1 juta pada FY23 berbanding RM98.3 juta pada tahun sebelumnya, manakala pendapatannya pula 6.7% lebih rendah pada RM1.4 bilion berbanding RM1.5 bilion sebelumnya.

 

Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa keuntungan bersih MSC berjumlah RM86.7 juta bagi FY23, iaitu di bawah jangkaan firma sebanyak 85% daripada anggaran RM101.6 juta dan konsensus pada 94% daripada RM92.7 juta.

 

Kemerosotan tersebut diheret oleh purata harga timah yang lebih rendah dan peruntukan kos tambahan untuk bonus kakitangan dan pampasan pemberhentian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pendapatan Malaysia Smelting Corp bagi FY23 susut kepada RM1.4 bilion kesan kelemahan harga purata bijih timah

 

Oleh itu, firma berkenaan menurunkan unjuran keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) kumpulan itu bagi FY24-25 masing-masing sebanyak 10% kepada RM95.4 dan 9% kepada RM99 juta.

 

Mengulas prospek harga timah, Malacca Securities mendapati bahawa harga timah telah bertukar positif, didagangkan di atas AS$27,000 setiap tan pada masa ini untuk harga timah hadapan tiga bulan LME (London Metal Exchange) selepas mendatar pada Ogos hingga Disember 2023. 

 

“Kami menjangkakan risiko negatif harga timah terhad dengan sokongan daripada lonjakan permintaan dalam industri kenderaan elektrik (EV) dan elektrik dan elektronik (E&E) serta penggunaan tenaga solar yang semakin meningkat berikutan peralihan ke arah persekitaran yang lebih hijau. 

 

“Peningkatan itu mungkin terhad memandangkan pertumbuhan ekonomi China sederhana dan konflik di rantau Timur Tengah yang berterusan akan menjadi faktor risiko ketidaktentuan harga timah,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, ia menjangkakan prospek MSC disokong kecekapan lebih tinggi berikutan kos operasi dan tenaga manusia yang lebih rendah dengan inisiatif penjimatan tenaganya di loji Pulau Indah. 

 

Malacca Securities menambah bahawa kumpulan itu bakal menikmati penjimatan kos sehingga 30% selepas operasi kilang peleburannya di Butterworth ditamatkan secara beransur-ansur menjelang pertengahan 2024.

 

Setakat pukul 11:58 pagi ini, saham MSC kekal pada RM2.05 dengan permodalan pasarannya bernilai RM861 juta.  - DagangNews.com