Tarif baharu di bawah RP2 dijangka imbangi kos operasi Petronas Gas - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Tarif baharu di bawah RP2 dijangka imbangi kos operasi Petronas Gas - AmInvestment

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Okt - AmInvestment Bank Research mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY23-24 bagi Petronas Gas Berhad dengan jangkaan tarif baharu menerusi Tempoh Kawal Selia 2 (RP2) akan mengimbangi sepenuhnya kos operasi yang lebih tinggi dalam dua segmen terkawal.

 

Firma itu berkata, pendapatan FY22 kumpulan berkurangan sebanyak 4% selepas mencatatkan margin keuntungan yang lebih rendah untuk segmen pengangkutan gas dan pengegasan semula.

 

Katanya, perkara itu adalah selepas mengambil kira kos operasi yang lebih tinggi daripada peningkatan kos bahan api dan andaian pertukaran asing yang lebih rendah.

 

Pendapatan kumpulan dalam segmen pengangkutan gas dan pengegasan semula (yang secara kolektif menyumbang 61% daripada keuntungan operasi kumpulan) telah dipengaruhi oleh kos bahan api yang lebih tinggi melalui penggunaan gas dalaman pada 1HFY22.

 

"Kami menjangkakan kenaikan kos akan pulih melalui tarif  tiga tahun yang disemak semula menerusi RP2 yang akan bermula pada 2023.

 

"Dengan andaian bahawa penggunaan gas dalaman menyumbang 5%-8% daripada jumlah kos dalam pengangkutan gas dan segmen pengegasan semula, kami mengunjurkan kemerosotan lanjut margin pendapatan sebelum cukai faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 2%-3% untuk dua segmen terkawal dalam 2HFY22.

 

"Dari sudut positif, segmen pemprosesan gasnya akan dilindungi daripada harga gas yang lebih tinggi kerana Petronas menanggung semua kos penggunaan gas dalaman di bawah perjanjian pemprosesan gas jangka panjang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu masih belum mencapai kata putus mengenai pelaburannya untuk tangki simpanan gas asli cecair (LNG) ketiganya di Pengerang.

 

Keputusan itu dijangka dimuktamadkan menjelang akhir 2022.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' untuk kumpulan itu dengan harga wajar (FV) RM20.05. - DagangNews.com