Tawaran awam permulaan Vetece terlebih langgan sebanyak 187.41 kali | DagangNews Skip to main content

Tawaran awam permulaan Vetece terlebih langgan sebanyak 187.41 kali

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Tawaran awam permulaan (IPO) Vetece Holdings Bhd telah terlebih langgan sebanyak 187.41 kali, menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE pada 28 Ogos 2024.

 

Kumpulan itu menerima sejumlah 31,054 permohonan untuk 3.69 bilion saham terbitan awam bernilai RM923.2 juta daripada orang ramai Malaysia, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 187.41 kali.

 

Sejumlah 9.8 juta saham terbitan yang tersedia untuk permohonan pengarah yang layak, pengurusan kanan utama, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan telah dilanggan sepenuhnya.

 

Sementara itu, 68.6 juta saham terbitan dan 39.2 juta saham tawaran melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih juga telah dilanggan sepenuhnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Vetece lancar IPO Pasaran ACE bagi mengumpul RM34.3 juta

 

Naib Pengerusi Eksekutif Vetece, Vernon Tee Chee Chiang berkata, sambutan kukuh terhadap IPO kumpulan itu menggariskan keyakinan pelabur terhadap prospek pertumbuhan Vetece.

 

Beliau berkata, dana itu memainkan peranan penting dalam mempercepatkan inisiatif strategik mereka, termasuk meluaskan jangkauan pasaran dan meningkatkan portfolio rumusan IT perusahaan.

 

"Dengan memberi tumpuan kepada inovasi dan keperluan pelanggan, kami berhasrat untuk mengukuhkan kedudukan kami sebagai salah satu penyedia utama rumusan IT perusahaan, di dalam dan di peringkat serantau," katanya.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Perbankan Pelaburan Kumpulan dan Perbankan Islam Kenanga Investment Bank Bhd, Datuk Roslan Tik berkata, pihaknya melihat sambutan menggalakkan untuk IPO kumpulan, dengan pasaran menunjukkan keyakinan kukuh terhadap prospek syarikat.

 

Kenanga Investment merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO. - DagangNews.com