Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Jan. - Felda menawarkan dokumen tawaran berhubung pengambilalihan mandatori tanpa syarat bagi saham-saham FGV Holdings Bhd. yang tidak dimilikinya, kecuali saham perbendaharaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, FGV berkata, tawaran tunai RM1.30 sesaham oleh Felda akan dibuka untuk penerimaan sehingga 5 petang, 2 Februari 2021.
"Melainkan ada sebarang lanjutan atau semakan dengan pengumuman, akan dibuat oleh Maybank Investment Bank Bhd. (Maybank IB), 2 hari sebelum tarikh tutup," katanya.
Maybank IB merupakan penasihat utama Felda bagi dokumen tawaran tersebut.
Menurut Felda, pekeliling penasihat bebas akan dikeluarkan pada 22 Januari 2021.
"Felda bagaimanapun tidak berhasrat untuk mengekalkan penyenaraian FGV dalam pasaran utama Bursa Securities," katanya.
Malah, tawaran itu juga akan memberi peluang kepada Felda untuk meningkatkan pegangannya dalam FGV dan mengukuhkan kawalannya dalam syarikat perladangan itu.
Selepas tawaran itu dimuktamadkan, Felda akan meneruskan perniagaan FGV dalam perladangan minyak sawit dan aktiviti berkaitan hiliran termasuk penapisan gula, pembuatan dan logistik.
Pada 8 Disember lalu, Felda berhasrat untuk mengambil alih kepentingan dalam FGV sebanyak 506,190,800 atau 13.88% ekuiti dengan nilai sebanyak RM658 juta.
Agensi itu bercadang untuk meningkatkan pegangannya dengan membeli keseluruhan kepentingan yang dimiliki Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), 6.1% dan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd., 7.78%.
Pengambilalihan kepentingan ini dengan RM1.30 sesaham akan meningkatkan pegangan Felda dalam FGV kepada 35.12% daripada 21.24% atau 775,029,80 saham. - DagangNews.com