KUALA LUMPUR 25 Sept - Vietnam berpotensi untuk menjadi pengguna baharu pesawat tempur F-16 berikutan Amerika Syarikat (AS) sedang melobi untuk memasarkan pesawat tersebut kepada negara yang pernah diserangnya pada 1960-an.
Washington dan Hanoi sedang berbincang mengenai perjanjian untuk perolehan kelengkapan ketenteraan terbesar antara dua negara yang pernah bermusuh semasa era Perang Dingin.
Pakej persenjataan yang akan dijual oleh AS kepada Vietnam termasuk sejumlah pesawat pejuang Lockheed Martin F-16, serta persenjataan dan peralatan yang berkaitan.
Difahamkan, AS menawarkan Vietnam dengan pesawat F-16 Viper Block 70/72 yang merupakan varian canggih.
Bagaimana pun, perbincangan ini masih pada peringkat awal dengan beberapa perkara sedang diperincikan kedua-dua pihak.
Sebelum ini, Washington juga menawarkan 12 buah pesawat F-16 kepada Filipina iaitu varian Block 50 untuk bersaing dengan tawaran JAS-39 Gripen dari Sweden.
Vietnam ketika ini merupakan rakan dagangan kesepuluh terbesar AS selain kedua-dua negara telah menjalinkan rangkaian kerjasama luas merangkumi diplomasi, kesihatan dan pendidikan.
Hanoi juga penting bagi Washington apabila menjalinkan kerjasama lebih sensitif seperti keselamatan maritim di Laut China Selatan.
Justeru, mudah untuk difahami mengapa AS bersedia untuk melengkapkan Vietnam dengan aset-aset pertahanan yang lebih baik.
Sekiranya pesawat F-16 menjadi aset baharu, ia bakal memperkukuhkan lagi keupayaan tentera udara republik itu.
Walaupun Vietnam merupakan negara kedua mempunyai angkatan tentera terkuat di rantau ini tetapi ia kekurangan daripada segi pesawat udara.
Vietnam ketika ini mengoperasikan kira-kira 40 pesawat pejuang Sukhoi Su-27 dan Su-30MK2 sebagai aset pertahanan udara utamanya.
Aset lain ialah 30 pesawat pejuang/serangan Su-22 yang telah digunakan sejak 40 tahun lalu. Ini merupakan pesawat yang hendak digantikan dengan aset baharu.
Disebabkan usia, pesawat Su-22 Vietnam beberapa kali terlibat nahas dengan insiden terbaharu pada Januari lalu yang mengorbankan juruterbangnya.
Sekiranya pesawat F-16 dipilih Vietnam, ia merupakan sesuatu yang baharu setelah sekian lama mengoperasikan aset-aset buatan Soviet/Rusia.
Ini juga bakal menimbulkan kesukaran daripada aspek operasi dan selenggaraan kerana sistem pada pesawat Barat dan Eropah Timur yang berbeza.
Vietnam bagaimana pun boleh melihat kepada Malaysia dan Indonesia iaitu dua negara di rantau ini yang berjaya mengoperasikan pesawat udara buatan Barat dan Eropah Timur dengan baik.
Apa yang lebih penting, potensi penjualan pesawat tempur F-16 ini akan menghasilkan hubungan kerjasama strategik/tentera antara dua negara seteru yang tempohnya akan diukur dalam beberapa dekad.
Ketegangan hubungan Hanoi dan Beijing kerana tuntutan wilayah bertindih di Laut China Selatan juga merupakan kesempatan terbaik untuk Washington.
Bagi maksud tersebut, Washington juga bersedia menawarkan kemudahan pembiayaan pertahanan kepada Vietnam.- DagangNews.com