Tealive diiktiraf jenama paling dipercayai di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Tealive diiktiraf jenama paling dipercayai di Malaysia

Bryan Loo (kiri) menerima Anugerah Platinum daripada Sheron White
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Jun - Tealive telah diundi sebagai jenama paling dipercayai di Malaysia melalui tinjauan bebas dalam kalangan 8,000 pengguna yang merangkumi lima pasaran serantau yang diiktiraf Asia Reader’s Digest.

 

Dalam menamakan Tealive sebagai pemenang mutlak bagi kategori ‘bubble tea’, Reader’s Digest menyatakan bahawa kemenangan Tealive adalah jelas dengan bilangan undian tertinggi meninggalkan pesaing terdekatnya jauh di belakang. 

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn Bhd, Bryan Loo menerima Anugerah Platinum daripada Sheron White yang mewakili Ketua Pengarang Reader's Digest, Louise Waterson pada majlis makan malam yang berlangsung semalam.

 

Loo yang ternyata teruja, mengucapkan terima kasih kepada jutaan pelanggan Tealive di Malaysia di atas penganugerahan yang tidak dijangka ini dan mendedikasikan kemenangan ini kepada ketekunan dan semangat tinggi serta inovatif semua warga kerja dalam keluarga Tealive.

 

“Ini adalah anugerah yang bukannya dipohon tetapi sebaliknya kita dipilih oleh pengguna melalui kaedah tinjauan. Kami merasa amat berbesar hati apabila mengetahui bahawa Tealive meraih bilangan undian yang jauh lebih besar berbanding pesaing kami yang terdekat.

 

"Kami akan terus melaksanakan kelaziman kami, sentiasa melahirkan idea baru dan kaedah berinovasi demi memenuhi segala keperluan dan hasrat pelanggan. Kami berpegang teguh kepada aku janji jenama kami iaitu ‘Bukan Sekadar Teh’ untuk menggembirakan peminat teh di mana sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Katanya, sebelum ini Tealive telah menerima anugerah bagi kecemerlangan pemasaran, keunggulan e-dagang, kecemerlangan dalam pengurusan bakat dan pematuhan halal. 

 

“Kejayaan ini merupakan testimoni bahawa rakyat Malaysia boleh mencipta produk bertaraf antarabangsa, kerana kami merupakan jenama yang ‘Lahir di Malaysia, Dibangunkan untuk Dunia’. Penganugerahan ini akan menjadi motivasi bagi kami untuk terus berinovasi dan memenuhi keinginan setiap jenis selera melalui kepelbagaian menu yang kami tawarkan,” katanya.

 

Anugerah Jenama Paling Dipercayai Asia Reader’s Digest adalah berasaskan kepada “Tinjauan Jenama Dipercayai” yang merupakan tinjauan beraudit yang dilaksanakan oleh syarikat penyelidik pasaran bebas, Catalyst Research.

 

Tinjauan ini mengenal pasti jenama yang paling dipercayai oleh pengguna dan dirujuk sebagai penanda aras di pasaran. Ia bereputasi kukuh sejak sekian lama sebagai kayu ukur utama dalam menentukan tahap kepercayaan sesuatu jenama di Malaysia dan di seluruh dunia. 

 

Edisi anugerah kali ini merangkumi saiz sampel seramai 8,000 individu dari seluruh Malaysia, Singapura, Filipina, Hong Kong, dan Taiwan.  

 

Pengguna diminta untuk menamakan jenama yang paling mereka percayai berbanding yang lain dan kemudiannya menilai jenama tersebut mengikut enam ciri penting iaitu kebolehpercayaan dan kredibiliti, kualiti, nilai, kefahaman keperluan pelanggan, inovasi dan tanggungjawab sosial. - DagangNews.com