Tee Huei Tsyr, Seon Yen Kong dilantik sebagai CEO dan COO baharu Tuju Setia | DagangNews Skip to main content

Tee Huei Tsyr, Seon Yen Kong dilantik sebagai CEO dan COO baharu Tuju Setia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Feb - Tuju Setia Bhd mengumumkan pelantikan Tee Huei Tsyr sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) dan Seon Yen Kong sebagai ketua pegawai operasi (COO) baharu kumpulan itu.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, Huei Tsyr telah bersama Tuju Setia sejak 2011, dengan pengalaman lebih 22 tahun dalam bidang pengurusan projek dan pembinaan.

 

Beliau sebelum ini merupakan COO kumpulan dan kini membantu pengarah urusan kumpulan dalam menyelia bahagian pembinaan dan mendapatkan peluang pembangunan perniagaan.

 

"Beliau juga bertanggungjawab ke atas perancangan projek secara keseluruhan, menyelaras kemajuan tapak untuk memastikan projek pembinaan siap tepat pada masanya, mengawal bajet projek, dan menyediakan panduan teknikal dalam tender projek," katanya.

 

Sementara itu, Yen Kong yang memiliki pengalaman luas lebih 29 tahun dalam pengurusan projek dan pembinaan yang melibatkan kerja-kerja awam serta infrastruktur.

 

tuju setia
Wee Eng Kong

 

Beliau juga pernah memegang beberapa jawatan kanan, termasuk CEO sebuah syarikat pembinaan, dan mengetuai pasukan bagi menyelaraskan aktiviti pembinaan, membangunkan strategi dan menguruskan tender.

 

"Beliau juga terlibat dalam beberapa projek pembangunan penting di Malaysia yang melibatkan pembinaan bangunan tinggi, menara komersial, bangunan perindustrian dan hospital,” kata kumpulan itu.

 

Pengarah Urusan Tuju Setia, Wee Eng Kong berkata, pelantikan CEO dan COO baharu itu adalah sejajar dengan visi menjadikan kumpulan sebagai syarikat pembinaan terkemuka, kerana kedua-dua Huei Tsyr dan Yen Kong mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai projek pembinaan serta kemahiran pengurusan bagi menyokong kumpulan itu.

 

“Melihat ke hadapan, kami menyasarkan untuk memperoleh lebih banyak kemenangan baharu, disokong oleh buku tender kami lebih RM3 bilion, yang terdiri daripada bangunan bertingkat tinggi dan perindustrian serta kemudahan hospital dan penjagaan kesihatan,” katanya.

 

Antara projek berterusan kumpulan itu kebanyakannya adalah bangunan bertingkat tinggi, seperti Alora Residences (Subang Jaya), Emerald 9 (Cheras), Jernih Residence (Kajang), Sunway d'hill Residences (Kota Damansara), dan One Equine (Seri Kembangan), serta reka bentuk dan binaan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kajang. - DagangNews.com