Tekanan ekonomi global, Maybank IB kekal berhati-hati terhadap prospek Swift Haulage | DagangNews Skip to main content

Tekanan ekonomi global, Maybank IB kekal berhati-hati terhadap prospek Swift Haulage

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Feb - Maybank Investment Bank (Maybank IB) kekal berhati-hati terhadap prospek Swift Haulage Bhd kesan daripada tekanan ekonomi global.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu yakin keputusan suku keempat 2023 kumpulan itu akan mencatatkan perkembangan positif dari suku tahun ke suku tahun didorong oleh segmen pergudangan yang berkembang pesat serta peningkatan jumlah pengendalian disebabkan faktor bermusim.

 

"Kebiasaannya, separuh kedua setiap tahun akan mempamerkan prestasi bermusim yang lebih kukuh disebabkan tempoh puncak akhir tahun dan cuti perayaan yang lebih berbanding separuh pertama," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Maybank IB berkata, gudang baharu di Pelabuhan Barat dijangka meningkatkan hasil segmen itu sebanyak 10%.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Swift Haulage buka gudang mesra alam di Pelabuhan Barat, meterai perjanjian dengan Sharp Electronics Malaysia

 

Katanya, gudang itu mempunyai kapasiti 269,000 kaki persegi dan 26 ruang pemunggahan, menampung 11,544 palet dan menawarkan simpanan lantai seluas 169,000 kaki persegi.

 

Pelancarannya akan meningkatkan jumlah ruang gudang kumpulan sebanyak 19% kepada 1.6 juta kaki persegi. 

 

"Sumbangan hasil dijangka bermula pada Mac 2024. Kapasiti baharu telah pun dimasukkan ke dalam ramalan semasa kami.

 

"Segmen gudang menyumbang 15% kepada hasil kumpulan bagi tempoh semilan bulan 2023 dan 20% kepada pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT)," katanya.

 

Selain gudang baharu ini, Swift Haulage mempunyai gudang di Seberang Perai, Pulau Pinang; Tebrau, Johor; Kota Kinabalu, Sabah dan empat gudang di Pelabuhan Klang

 

Di samping itu, pejabat pengangkutan baharu Swift Haulage yang meliputi kawasan seluas 8,000 persegi kaki, dilengkapi dengan bengkel seluas lebih 10,000 kaki persegi yang akan menampilkan 10 ruang khusus untuk pembaikan dan penyelenggaraan kepala lori (prime mover) dan ruang perkhidmatan penyelenggaraan tayar. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran 52 sen. - DagangNews.com