KUALA LUMPUR 27 Mei - RHB Research menjangkakan tekanan inflasi akan memberi kesan negatif kepada sentimen pembeli projek hartanah Tambun Indah Land Berhad.
Firma itu berkata, walaupun berdepan dengan tekanan inflasi, pengurusan kumpulan itu masih mengekalkan sasaran jualan hartanah sebanyak RM130 juta untuk tahun ini terutama apabila mereka akan melancarkan projek baharu Pearl Impiana dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM78.7 juta.
Katanya, kumpulan itu mencatatkan hasil jualan sebanyak RM14.8 juta pada suku ini berbanding RM150.4 juta pada 4QFY21
Firma itu berkata, kadar penjualan yang perlahan adalah disebabkan trend pasaran semasa dengan momentum jualan semakin melemah selepas tamat Kempen Pemilikan Rumah (HOC) pada Disember 2021 dan hasilnya jumlah jualan tidak menunjukkan peningkatan yang signifikan.
"Walaupun sentimen itu dijangka tidak menentu, kami kekal positif terhadap permintaan terhadap perumahan di Pulau Pinang terutama selepas aktiviti komersial dan industri berkembang pesat di kawasan Batu Kawan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Pendapatan kumpulan itu dari suku ke suku mencatatkan penurunan selepas jualan hartanah semakin melemah selepas tamat kempen HOC.
Secara keseluruhan, perbandaran Pearl City menyumbang 88.8% daripada pendapatan keseluruhan suku tahun ini dan perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) mengembang kepada 40% berbanding 36% pada suku sebelumnya.
Firma itu menyemak turun penarafan Tambun Indah kepada 'neutral' daripada 'beli' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) RM0.90 berbanding RM0.87. - DagangNews.com