Tekanan kos dalam segmen hartanah dan ladang, MKH gagal capai unjuran keuntungan Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Tekanan kos dalam segmen hartanah dan ladang, MKH gagal capai unjuran keuntungan Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Nov - Tekanan kos dalam segmen hartanah dan perladangan menyebabkan MKH Berhad mencatatkan untung bersih sebanyak RM74.3 juta sekali gus gagal mencapai unjuran Kenanga Research sebanyak 8%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, margin keuntungan operasi kumpulan itu susut 12.5% disebabkan peningkatan kos yang menjejaskan keuntungan kedua-dua bahagian hartanah dan perladangannya.

 

"Kami menyatakan bahawa ketiadaan penjualan tanah (RM2.5 juta seperti pada FY22) juga menjejaskan margin hartanah.

 

"Hasilnya, keuntungan bersih teras FY23 menurun kepada RM74.6 juta (-34%)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kumpulan itu merancang pembangunan hartanah baharu pada FY24 yang terdiri daripada pangsapuri perkhidmatan dan pembangunan kedai komersial runcit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM640 juta secara berperingkat berdasarkan sentimen pasaran semasa.

 

Kenanga Research berkata, walaupun pasaran dijangka kekal lemah tetapi stabil, pertumbuhan segmen mungkin diteruskan pada kadar sederhana, dipengaruhi oleh kadar dasar semalaman (OPR) yang tidak berubah pada 3.% sejak Mei 2023 tetapi berkemungkinan kekal menarik kepada pembeli berpotensi.

 

Katanya, bagi segmen perladangan, walaupun prestasinya kurang memberangsangkan tahun ini, mereka menjangkakan hasil kewangan yang lebih teguh pada tahun akan datang dan ia berdasarkan jangkaan kenaikan harga minyak sawit mentah serta jumlah pengeluaran.

 

"Kami bagaimanapun menyemak turun unjuran pendapatan kumpulan sebanyak 11% bagi mencerminkan kenaikan kos pembinaan terhadap projek hartanahnya," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM2.11 berbanding RM2.15 sesaham.- DagangNews.com