Tekanan terhadap bon Malaysia menjelang keputusan FTSE Russell | DagangNews Skip to main content

Tekanan terhadap bon Malaysia menjelang keputusan FTSE Russell

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Mac - FTSE Russell hari ini akan mengumumkan sama ada Malaysia kekal di dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) selepas meletakkan negara ini dalam senarai pemerhatian bagi potensi untuk dikeluarkan, sepanjang dua tahun lalu.

 

Disebabkan itu, Kenanga Research menjangkakan permintaan terhadap Sekuriti Kerajaan Malaysia/ Terbitan Pelaburan Kerajaan (MGS/GII) mungkin berdepan tekanan hari ini.

 

“Dalam pada itu, kadar hasil MGS/GII dijangka meningkat bagi tempoh masa jangka panjang memandangkan vaksin COVID-19 terus diedarkan dan MGS/GII tambahan akan diterbitkan untuk membiayai Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa),” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya. 

 

Kali terakhir FTSE Russell membuat keputusan untuk mengekalkan Malaysia dalam senarai pemerhatian, pada 24 September 2020.

 

Baca : Malaysia diletakkan dalam Senarai Pemerhatian Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE

 

Pengekalan itu mungkin untuk klasikasi semula dari Tahap Kebolehcapaian Pasaran 2 kepada 1. 

 

Ketika berdepan risiko dibuang daripada senarai untuk indeks berkenaan, FTSE Russell turut mengumumkan China tersenarai dalam WGBI bermula Oktober 2021.

 

Menurut Bloomberg, bon Malaysia telah menyusut hampir 7% pada tahun ini dari segi dolar selain hanya bon China yang melonjak dalam kalangan negara-negara Asia yang sedang membangun, setakat ini.

 

Baca : Ekonomi Malaysia 'lega' masih kekal dalam senarai pemerhatian FTSE

 

Tambah Kenanga, kadar hasil bon negara mungkin bergerak pada tahap yang terhad minggu ini, menjejaki pergerakan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS).

 

“Kami masih menjangkakan pasaran hutang akan terus menarik permintaan asing dalam tempoh masa singkat, ketika wujudnya perbezaan kadar hasil. 

 

“Namun, tebaran kadar hasil MGS dan Perbendaharaan AS 10 tahun menyusut kepada 166 mata asas (bps), berbanding minggu lalu, 173 bps dan purata Februari, 164 bps,” tambah Kenanga. - DagangNews.com