Tekun lancar SPIN dengan peruntukan RM50 juta | DagangNews Skip to main content

Tekun lancar SPIN dengan peruntukan RM50 juta

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (tiga dari kiri) pada Majlis Pelancaran Skim Pembiayaan Informal hari ini. 

 

 

 

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Tekun Nasional telah melancarkan Skim Pembiayaan Informal (SPIN) melibatkan peruntukan sebanyak RM50 juta yang boleh memanfaatkan 10,000 usahawan dalam sektor informal yang terjejas ekoran daripada pandemik COVID 19. 

 

Secara dasarnya, sektor informal merupakan pertubuhan yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau mana-mana badan profesional, termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

 

SPIN juga dapat menggalakkan usahawan sektor informal untuk mendaftarkan perniagaan mereka di mana bagi membuat pembiayaan ulangan, usahawan diwajibkan membuat pendaftaran perniagaan (dengan SSM).

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, golongan usahawan informal inilah yang amat terkesan akibat COVID-19 kerana kebanyakannya bergantung kepada gaji harian dan tidak mempunyai simpanan wang yang banyak untuk bertahan atau modal untuk beralih ke perniagaan baharu.

 

“Dengan adanya kemudahan seperti SPIN, akan dapat membantu usahawan sektor informal yang kurang mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya untuk meneruskan kelangsungan perniagaan. 

 

"Saya berharap dengan pelaksanaan inisiatif ini tiada usahawan yang tercicir di dalam pelan pemulihan usahawan oleh kerajaan terutama usahawan kawasan pedalaman," katanya selepas majlis pelancaran SPIN hari ini.

 

Nilai pembiayaan SPIN adalah daripada RM1,000 sehingga RM5,000 dengan tempoh bayaran balik pembiayaan adalah sehingga 3 tahun dan kadar keuntungan yang dikenakan adalah 4% setahun.

 

Inisiatif ini diharap dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk membangunkan kapasiti dan daya saing usahawan mikro. 

 

Wan Junaidi berkata, melalui bantuan SPIN, anjakan status perniagaan sektor informal ke perniagaan berstatus mikro dan seterusnya kepada kategori yang lebih tinggi akan dapat dilaksanakan.

 

Ini kerana, katanya, berdasarkan data Jabatan Perangkaan, terdapat hampir 1.26 juta guna tenaga dalam sektor informal di mana 71.7% daripada jumlah tersebut adalah yang bekerja sendiri atau mengusahakan perniagaan mikro.

 

"Kemudahan pembiayaan ini akan dapat membantu sektor informal bagi keperluan modal permulaan atau tambahan termasuklah homebase business dan sektor ekonomi gig yang semakin berkembang dan mendapat perhatian," katanya.

 

Beliau memberitahu, selain daripada sektor informal kerajaan juga telah menyalurkan bantuan pembiayaan kepada usahawan mikro yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19 bagi meringankan beban usahawan dalam mengharungi tempoh yang sukar sejak April 2020.


Langkah kerajaan menyediakan bantuan untuk usahawan mikro melalui Tekun dilihat sebagai usaha murni dalam menyantuni golongan itu. 

 

Menerusi Pakej Prihatin, dengan dana yang diperolehi sebanyak RM200 juta, Tekun telah melancarkan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro (CBRM) pada April 2020.

 

Di bawah Skim CBRM seramai 26,326 permohonan telah diluluskan dengan nilai pembiayaan sebanyak RM200 juta.

 

Menerusi Pelan Penjana pula sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan kepada Tekun bagi melancarkan Skim Pemulihan Perniagaan Tekun (TBRS).

 

Seramai 14,966 orang usahawan telah mendapat manfaat daripada skim tersebut dengan nilai pembiayaan berjumlah RM100 juta.
 

Pada majlis pelancaran itu juga, Tekun turut meraikan 5 penerima terakhir Skim TBRS yang masing-masing akan menerima pembiayaan bernilai RM10,000.

 

Dengan ini keseluruhan dana yang diterima oleh Tekun berjumlah RM 300 juta melalui Pakej Prihatin dan Pelan Penjana telah disalurkan sepenuhnya yang memberi manfaat kepada 41,292 orang usahawan mikro di seluruh negara. - DagangNews.com