Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Nov. - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) berjaya menerima pengiktirafan global menerusi Anugerah Pembangunan Perdagangan 2020 (Development Awards 2020) - Trade Development.
Pengiktirafan tersebut diberikan oleh pertubuhan berprestij di rantau Asia Pasifik, Association of Development Financing Institution in Asia and the Pacific (ADFIAP).
Anugerah itu diberi bersempena Mesyuarat Agung Tahunan Ke-43 pertubuhan tersebut yang berlangsung pada 28 hingga 29 Oktober 2020.
TEKUN Nasional berjaya menerima anugerah berkenaan menerusi inisiatif penyediaan akses pemasaran produk usahawan mikro ke peringkat antarabangsa.
Pengiktirafan kepada inisiatif berkenaan dinilai melalui projek “Internalization Of Sucessful Reference On Microcredit - TEKUN”.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, peluang pemasaran produk oleh usahawan TEKUN di peringkat antarabangsa perlu dipertingkatkan dengan lebih meluas.
"Inisiatif TEKUN dalam menyediakan akses pemasaran produk usahawan mikro ke peringkat antarabangsa perlu dipertingkatkan lagi.
"Terdapat ramai usahawan TEKUN yang mempunyai produk yang sesuai di pasarkan di peringkat global. Namun pendedahan dan peluang untuk memasarkan produk tersebut adalah terhad," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebagai agensi di bawah MEDAC, TEKUN Nasional telah mengambil inisiatif dalam memberi pendedahan awal kepada usahawan-usahawan TEKUN untuk mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat mengenai peluang pasaran eksport halal, input penjenamaan dan program-program keusahawanan yang ditawarkan oleh agensi lain.
Seiring dengan era digitalisasi, TEKUN turut mengadakan kerjasama dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dalam melaksanakan Program e-Dagang Setempat (PeDAS) untuk memberi kemahiran dan ilmu dalam bidang e-dagang sekali gus memperluaskan perniagaan mereka.
Dalam usaha berperingkat, TEKUN juga akan memberi fokus untuk meningkatkan pembangunan keupayaan usahawan, pengukuhan penjenamaan dan strategi pemasaran digital (E-Dagang) yang berupaya membawa produk usahawan mikro ke pasaran global. - DagangNews.com