TEKUN Nasional salur RM557.3 juta kepada 49,901 usahawan | DagangNews Skip to main content

TEKUN Nasional salur RM557.3 juta kepada 49,901 usahawan

Usahawan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) menyalurkan pembiayaan berjumlah RM557.3 juta kepada 49,901 orang usahawan di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jumlah yang direkodkan hingga Oktober 2020 itu merupakan pembiayaan kementerian melalui TEKUN Nasional kepada semua sektor perniagaan dengan nilai sebanyak RM1,000 hingga RM100,000.

"Usahawan boleh memohon untuk mendapatkan pembiayaan di bawah TEKUN Nasional melalui program pembiayaan sedia ada yang ditawarkan. 

"Bagi tahun 2020, sehingga bulan Oktober, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan kepada seramai 49,901 orang usahawan di seluruh Malaysia, melibatkan nilai pembiayaan sebanyak RM557.3 juta," katanya ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) di Dewan Rakyat hari ini.

 

Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

 

Jawapan tersebut diberikan selepas Lukanisman meminta beliau menyatakan langkah khusus kementerian (MEDAC) membantu industri perniagaan berasaskan perkahwinan di Malaysia ketika negara dilanda pandemik COVID-19 yang terbeban dengan banyak pembatalan dan SOP yang ketat.

TEKUN Nasional juga memberikan kemudahan moratorium kepada usahawan sedia ada semasa penularan COVID-19 pada Mac hingga September 2020.

Usahawan yang masih terjejas selepas tempoh moratorium tersebut boleh memohon untuk mendapatkan pelanjutan tempoh penangguhan bayaran balik tambahan selama 3 bulan (September hingga November 2020) ataupun membuat penjadualan semula bayaran balik bagi meringankan bebanan kewangan yang termasuk usahawan daripada industri perniagaan berasaskan perkahwinan.

Mengulas berkaitan langkah khusus membantu industri perniagaan berasaskan perkahwinan, beliau memberitahu, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) telah melatih seramai 6,089 orang usahawan khususnya mereka yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19 melalui program INSKEN Business Coaching (IBC) Wedding Planner, INSKEN Business Training (IBT), dan INSKEN e-BizClinic.

 

Lukanisman Awang Sauni
Lukanisman Awang Sauni

 

Bagi program INSKEN BizLive pula, sebanyak 154 sesi telah dilaksanakan melibatkan jumlah tontonan sebanyak 595,194 bagi tempoh hingga Oktober 2020.

Tambah beliau, INSKEN turut giat melaksanakan pelbagai sesi latihan, coaching, dan mentoring kepada usahawan.

 

Antara sesi latihan yang dilaksanakan adalah seperti berikut;

  • INSKEN Business Coaching (IBC) Wedding Planner
  • INSKEN Business Training (IBT). Sehingga pertengahan Oktober 2020, sebanyak 118 sesi telah dijalankan yang melibatkan penyertaan 4,759 usahawan.
  • INSKEN e-BizClinic
  • INSKEN BizLive

 

"Kementerian melalui INSKEN telah menjalankan program bimbingan khas bagi pengamal industri perkahwinan sejak 2017, termasuk usahawan di dalam bidang catering, bridal, khemah dan lokasi. 

"Seramai 120 orang usahawan telah dibimbing untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka," tambahnya lagi. - DagangNews.com