Teladan Setia, Micro Energy meterai MoU pemasangan sistem solar PV untuk projek perumahan di Melaka | DagangNews Skip to main content

Teladan Setia, Micro Energy meterai MoU pemasangan sistem solar PV untuk projek perumahan di Melaka

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 April - Teladan Setia Group Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Teladan Setia Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan pembekal sistem solar fotovoltaik (PV), Micro Energy Holdings (M) Sdn Bhd untuk memasang sistem solar PV di projek perumahan Bertam Heights Fasa 2A di Melaka.

 

Teladan Setia dalam kenyataan berkata, ia bertujuan untuk mewujudkan tenaga lebih hijau dan persekitaran hidup yang cekap untuk pembeli rumah.

 

Melalui kerjasama ini katanya, pihaknya akan memasang sistem solar PV antara 2 kilowatt-peak (KWp) hingga 4KWp untuk 352 unit rumah dalam pembangunan tersebut. 

 

"Rumah sedia solar ini dijangka dapat mengurangkan kos elektrik untuk pemilik rumah dengan ketara, yang berpotensi menghasilkan penjimatan sehingga 75%.

 

"Teladan Setia telah melantik MEH sebagai pembekal kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek itu. 

 

"Micro Energy mempunyai pengalaman yang luas dalam menyampaikan penyelesaian sistem PV solar yang komprehensif untuk pengguna kediaman, komersial dan industri," katanya.

 

Pengarah Eksekutif Teladan Setia, Francis Sia Ah Piew berkata, pihaknya berbangga menjadi perintis pembangunan hijau di Melaka dengan menjadi pemaju hartanah pertama memasang sistem solar untuk pembeli rumah. 

 

 

teladan
Francis Sia Ah Piew (kiri) dan V.Kajendran @ Raj ketika memeterai MoU antara Teladan dan Micro Energy pada 26 April 2023.

 

 

Katanya. bersempena dengan program Pengukuran Tenaga Bersih Rakyat 3.0 (NEM) Kerajaan Malaysia, pihaknya komited untuk memainkan peranan dalam usaha kemampanan negara dengan menawarkan rumah sedia solar. 

 

"Rumah sedia solar kami direka bentuk untuk menunjukkan bahawa kemampanan boleh disepadukan dengan lancar ke dalam setiap aspek kehidupan lestari, berfungsi sebagai model teladan untuk pembangunan masa depan," katanya.

 

Pengarah Micro Energy, V.Kajendran @ Raj pula berkata, pihaknya berbangga dalam mempromosikan penggunaan sumber tenaga bersih dan boleh diperbaharui untuk mengurangkan karbon pelepasan dan memperlahankan pemanasan global. 

 

"Sebagai pemain utama dalam industri tenaga bersih, kami mengiktiraf kepentingan kehidupan mampan dan komited untuk mencipta dunia yang lebih hijau untuk generasi akan datang," katanya.

 

Dalam pada itu, projek pembangunan perumahan itu dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 2023 dan akan siap menjelang 2026. - DagangNews.com