Televisyen masih menjadi tumpuan pengiklan, kuasai 68% bahagian pasaran | DagangNews Skip to main content

Televisyen masih menjadi tumpuan pengiklan, kuasai 68% bahagian pasaran

KUALA LUMPUR 23 Nov - Walaupun berlaku lonjakan ketara dalam permintaan digital namun televisyen masih menjadi tumpuan pengiklanan.

 

Firma penyeleidikan, Nielsen berkata, bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023, sebanyak AS$107 bilion (RM499.4 bilion) hasil iklan disuntik ke dalam industri media Asia, dengan televisyen menarik bahagian terbesar (68%), diikuti oleh media digital (16%) yang mencerminkan penguasaan media tradisional itu dalam pasaran pengiklanan.

 

Pada masa sama, penembusan telefon pintar di seluruh Asia kini telah mencapai 90%, mengukuhkan perubahan penggunaan media dan tabiat interaksi di rantau ini.

 

"Indonesia dan Thailand ialah pengguna terbesar kandungan 'on-the-go' dengan tontonan pada telefon pintar mencecah 62% bagi Indonesia dan 64% (Thailand).

 

"Bagi penggunaan televisyen, penonton tradisional kekal kukuh, dengan Taiwan yang terbesar sebanyak 98% diikuti Malaysia sebanyak 86%.

 

"Manakala, dari penggunaan Internet, Korea Selatan dan Taiwan masing-masing 98% dan Malaysia (95%) mendahului negara lain di rantau ini," katanya, lapor Berita Harian, hari ini

 

Firma itu berkata, memandangkan penstriman mudah alih berkembang pesat di seluruh Asia, beberapa pasaran muncul sebagai yang paling menonjol.

 

"Penerajunya ialah Indonesia (69%) dan Malaysia (86%), dengan kedua-duanya adalah pengguna besar perkhidmatan penstriman.

 

"Perbezaan antara tontonan televisyen linear dan penggunaan Internet menyerlahkan dinamik unik Asia, susulan daripada pasaran dan demografi yang pelbagai di rantau ini.

 

"Di Korea Selatan, pasaran dengan 98% penembusan internet, televisyen linear masih menguasai 97%," katanya.

 

Presiden Komersial Asia Nielsen, Arnaud Frade berkata, apabila belanjawan semakin ketat dan tekanan semakin meningkat untuk dilihat dan didengari, pengiklan di Asia menggandakan sasaran dalam menyasarkan khalayak yang betul.

 

"Di rantau ini, tontonan berbilang skrin sudah menjadi kebiasaan dan saluran penstriman hanya akan berkembang.

 

"Kuncinya adalah untuk memanfaatkannya, yang bermaksud pengukuran merentas media berkesan, yang sedang giat diusahakan oleh kami bagi disampaikan ke dalam pasaran utama di seluruh rantau ini," katanya. - DagangNews.com