'Tempoh singkat yang sangat berharga' - Wan Zulkiflee | DagangNews Skip to main content

'Tempoh singkat yang sangat berharga' - Wan Zulkiflee

 

 

KUALA LUMPUR 8 Jun - Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin menyifatkan tempoh singkat bersama syarikat minyak terkemuka dunia, ExxonMobil Corp sebagai pengalaman yang cukup berharga.

 

Beliau bagaimanapun, menghormati keputusan yang dicapai ketika mesyuarat agung tahunan (AGM) ExxonMobil minggu lalu yang tidak melantiknya semula dalam lembaga tersebut. 

 

"Saya amat berbesar hati telah dilantik menganggotai Lembaga Pengarah ExxonMobil yang sangat berprestij ini. 

 

"Di sebalik tempoh keanggotaan saya yang singkat ini, saya melihat peluang yang diberikan ini adalah pengalaman berharga dengan syarikat tenaga terkemuka dunia," katanya dalam kenyataan ringkas hari ini seperti dilapor TheEdge.

 

Beliau merupakan antara 3 pengarah yang tidak dilantik semula menganggotai lembaga pengarah, di sebalik tekanan oleh pemegang saham diketuai aktivis dana lindung nilai, Engine No 1 supaya ExxonMobil lebih bersedia ke arah masa depan bebas karbon. 

 

Wan Zulkiflee dilantik ke jawatan tersebut pada 2 Februari lalu dan merupakan rakyat pertama bukan warganegara Amerika Syarikat (AS) yang menganggotai lembaga tersebut dalam sejarah penubuhannya.

 

Menurut laporan Reuters, bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Petronas itu dilantik selepas kumpulan dikritik hebat bahawa pengarah-pengarahnya kurang berpengalaman dalam sektor tenaga. 

 

Apabila ExxonMobil mengumumkan keputusan awal AGM pada 2 Jun lalu, beliau bersama bekas CEO Metlife, Steven Kandarian dan CEO IBM, Samuel Palmisano termasuk seorang ahli lembaga pengarah yang telah lama berkhidmat turut dikeluarkan daripada kerusi lembaga pengarah itu.

 

Bagaimanapun, Wan Zulkiflee turut merakamkan penghargaan kepada ahli lembaga pengarah sepanjang 4 bulan berkhidmat dengan syarikat minyak utama itu. 

 

Bahkan, beliau turut memuji komitmen dan profesionalisme pengurusan dalam memimpin ExxonMobil dalam aspirasinya memenuhi keperluan tenaga dunia dengan bertanggungjawab, yang disifatkan satu usaha yang juga dekat dihatinya.

 

"Saya amat memahami sepenuhnya keperluan untuk menghormati keputusan AGM, yang mana menyaksikan 3 anggota tidak dilantik semula dalam lembaga pengarah.

 

"Saya mengucapkan selamat maju jaya dan yakin bahawa mereka akan memberikan panduan dan bimbingan kepada Darren Woods (CEO dan Pengerusi ExxonMobil) dan pasukannya dalam menempuh masa-masa mencabar ini dan terus mencipta nilai bagi semua pihak berkepentingan. Terima kasih,” ucap Wan Zulkiflee. 

 

Beliau kini berkhidmat sebagai pengerusi bukan eksekutif Malaysia Airline Bhd. dan Malaysia Aviation Group Bhd., serta pengerusi DRB-Hicom Bhd. - DagangNews.com