Tender untuk pakej pertama projek MRT 3 dibuka | DagangNews Skip to main content

Tender untuk pakej pertama projek MRT 3 dibuka

Syarikat yang berminat mesti mendaftar untuk taklimat wajib yang akan diadakan pada 13 Mei 2022.

KUALA LUMPUR 29 April - Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp) mempelawa bakal syarikat untuk mengambil bahagian dalam Permintaan Bagi Cadangan (RFP) bagi pakej kerja perkhidmatan perundingan pengurusan projek MRT 3.

 

Ini adalah tender pertama diadakan bagi pembinaan MRT 3 sepanjang 51 kilometer (km) yang mendapat kebenaran kerajaan pada 4 Mac tahun ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, perunding pengurusan projek (PMC) akan membantu MRT Corp menguruskan projek laluan bulatan MRT 3 dan bertanggungjawab ke atas penyampaian projek tepat pada masanya mengikut bajet yang ditetapkan.

 

Selain membantu MRT Corp, Zarif berkata syarikat itu mengharapkan PMC memenuhi keperluan kontraktor pakej kerja sivil dan sistem.

 

“RFP terbuka kepada syarikat yang mempunyai pengalaman menguruskan sekurang-kurangnya satu projek kereta api di Malaysia atau di luar negara dengan nilai agregat minimum RM1 bilion,” katanya.

 

RFP terbuka kepada syarikat Malaysia manakala penyertaan asing minoriti dibenarkan melalui usaha sama atau konsortium di mana syarikat Malaysia memegang sekurang-kurangnya 60 peratus ekuiti.

 

Maklumat mengenai kriteria untuk menyertai RFP boleh didapati dalam Notis RFP yang diiklankan di beberapa akhbar mulai hari ini, 29 April 2022.


 

mrt3

 

Syarikat yang berminat mesti mendaftar untuk taklimat wajib yang akan diadakan pada 13 Mei.

 

Pendaftaran akan dibuka hari ini dan boleh dilakukan secara dalam talian melalui pautan atau dengan mengimbas kod QR yang disediakan dalam notis RFP. - DagangNews.com