Tengkujuh : Setiu perkenal pakej pelancongan 'Jom Maing Hujang' tarik pengunjung ke Terengganu | DagangNews Skip to main content

Tengkujuh : Setiu perkenal pakej pelancongan 'Jom Maing Hujang' tarik pengunjung ke Terengganu

Oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 20 Nov - Musim tengkujuh yang sudah bermula di Terengganu ketika ini disambut meriah dengan pelancaran pakej pelancongan 'Jom Maing Hujang' di Setiu dengan mempromosikan beberapa aktiviti menarik untuk pelancong, termasuk `mencari lokan dan kepah'. 

 

Pegawai Daerah Setiu, Ahmad Rizal Mamat berkata, pelancong yang ingin menyertai pakej tersebut tidak perlu bimbang kerana aktiviti yang disediakan juga dijamin selamat dari risiko banjir serta fenomena kepala air.

 

Menurutnya, sambutan yang diterima setakat ini sangat menggalakkan terutama pelancong dari luar Terengganu iaitu di sekitar Lembah Klang dan selatan tanah air.


 

 Ahmad Rizal Mamat
                           Ahmad Rizal Mamat

 


"Pelancong yang datang akan dibawa ke lokasi mencari lokan dan kepah yang menjadi identiti daerah Setiu untuk merasai sendiri pengalaman menarik ini.

 

"Hasil tangkapan yang diperoleh boleh dijadikan juadah makan tengahari atau makan malam yang akan dihidangkan segar kepada mereka.

 

"Antara aktiviti yang popular kepada pelancong yang ingin merasai suasana desa, bermandi sungai yang masih belum tercemar dan ingin melihat sendiri proses tangkapan lokan dan kepah yang dilakukan penduduk kampung di Setiu," katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.


 

husna
Pelancong dibawa ke lokasi mencari lokan dan kepah yang menjadi identiti daerah Setiu.

 

husna

 

 

Tambahnya, bagi peminat aktiviti sukan lasak pula, mereka boleh menyertai pakej berkayak di Setiu Adventure Park, Lata Payung yang menjanjikan 1001 pengalaman berharga bersama rakan dan keluarga tersayang.

 

"Di Setiu juga kami baru sahaja anjurkan Sesohor Setiu Jamboree MTB Challenge dengan penyertaan lebih 500 peserta termasuk dari Thailand dan Singapura.

 

"Laluan trek yang mencabar untuk peminat sukan basikal menempuhi 30 kilometer denai, sungai dan hutan ini berjaya memperkenalkan Setiu sebagai lokasi pelancongan sukan yang sesuai dikunjungi pada musim tengkujuh," katanya.

 

 

mtb

 

parafrasa

 


Sementara itu, penduduk kampung yang ditemui mengakui tempahan pakej pelancongan 'Jom Maing Hujang' turut membantu mereka dalam mencari sumber pendapatan yang lebih banyak pada musim tengkujuh kali ini.

 

Pencari lokan dan kepah, Amir Zulkifli dari Kampung Pengkalan Gelap berkata, ramai pelancong teruja dapat merasai sendiri pengalaman mencari hasil sungai tersebut dan menyifatkannya percutian yang sangat unik dan istimewa.

 

"Pelancong seronok kerana dapat turun ke sungai mencari kepah di dasar yang berlumpur dengan kudrat sendiri dan sering bertanyakan tips atau petua bagaimana mendapatkan kepah yang banyak.

 

"Alhamdulillah, hasil jualan kepah juga semakin meningkat dan pakej mencari kepah sangat memberangsangkan hingga akhir bulan ini dan pertengahan bulan depan," katanya. - DagangNews.com