Tentera Darat intai perolehan baharu senjata antiarmor | DagangNews Skip to main content

Tentera Darat intai perolehan baharu senjata antiarmor

Sistem ATGW-MR Metis-M yang digunakan semasa latihan.
oleh ZAKI SALLEH

KEPERLUAN bagi penambahan aset tempur Tentera Darat mula dibuat apabila perolehan bagi mendapatkan sistem pelancar peluru berpandu antiarmor jarak sederhana (ATGW-MR) ditawarkan.

 

Sistem ATGW-MR merupakan senjata bantuan pada peringkat batalion infantri yang dikendalikan oleh platun antikereta kebal.

 

Fungsi platun ini adalah untuk menyerang dan memusnahkan kenderaan armor musuh termasuk kereta kebal atau halangan seperti kubu musuh pada jarak sehingga 2000 meter (m).

 

Kementerian Pertahanan (Mindef) telah mengeluarkan tender untuk perolehanan 18 sistem ATGW-MR ini, namun jumlah sebenar peledak atau peluru berpandunya tidak dinyatakan.


 

parafrasa
Sistem ATGW Tentera Darat iaitu Baktar-Shikan yang digunakan pasukan mekanise.

 

Kebarangkalian jumlah peluru berpandu yang akan diperoleh adalah lebih banyak iaitu antara 100 hingga 200 unit.

 

Tender tersebut telah diterbitkan pada 21 Mac lalu dan ditutup pada 14 April iaitu untuk tempoh 21 hari.

 

Pakej itu juga termasuk sistem simulator dan peralatan ujian bagi tujuan latihan.

 

Difahamkan, sistem pelancar ATGW-MR ini hendaklah berada dalam lingkungan berat sekitar 25 kilogram (kg).

 

Sejak penubuhan batalion infantri standard (BIS) TD bermula tahun 1999, sistem persenjataan ini telah dibekalkan secara berperingkat-peringkat yang dipasang pada kenderaan.

 

Ini kerana platun antikereta kebal bersifat mobil agar mudah bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi dengan pantas.

 

Dengan perubahan status Rejimen Sempadan kepada BIS tahun lalu maka, memang ada keperluan untuk TD menambah aset-aset yang sesuai pada rejimen berkenaan khususnya di Sabah dan Sarawak.


 

ATM
Anggota Tentera Darat dibekalkan pelancar roket RPG-7 sebagai senjata antiarmor untuk platun.

 


Kerajaan pada tahun 2001 memilih sistem ATGW-MR Metis-M buatan Rusia. Dipercayai sebanyak 24 unit pelancar dibeli.

 

Sistem Metis-M mengandungi pelancar seberat 9.5kg, tiub peluru (13.8kg) dan pejera thernal (6.5kg).

 

Selain dipasang pada kenderaan, sistem Metis-M juga boleh dibawa oleh anggota dalam kumpulan kecil, misalnya untuk melakukan serang hendap ke atas sasaran musuh.

 

Pembelian Metis-M telah melonjakkan evolusi persenjataan TD yang sebelumnya bergantung pada senjata seperti Carl Gustav dan meriam M40 106mm untuk pernan antikereta kebal.

 

Metis-M yang sehingga kini merupakan antara sistem persenjataan antiarmor terbaik telah digunakan secara berkesan dalam banyak konflik dan medan tempur.

 

Tawaran tender Mindef ini sudah pasti menarik minat beberapa pengeluar persenjataan serupa untuk menawarkan produk masing-masing.

 

Misalnya sistem FGM-148 Javelin yang dibangunkan oleh firma Raytheon dan Lockheed Martin.


 

parafrasa
Tentera Amerika Syarikat menggunakan sistem Javelin semasa menakluk Iraq dan Afghanistan.



Javelin dikatakan sebagai sistem ATGW-MR yang terbaik ketika ini dan turut digunakan oleh 12 buah negara. 

 

Tidak ketinggalan sistem OMTAS, buatan firma Roketsan dari Turkiye. Dengan trend Malaysia yang semakin cenderung pada sistem persenjataan buatan negara tersebut, OMTAS pasti akan mengintai peluang sama.

 

Satu lagi sistem ATGW-MR terbaik ialah MMP iaitu peluru berpandu antikereta kebal generasi ke-5 Perancis. 


 

parafrasa
Sistem ATGW-MR MMP buatan Perancis.

 


Ia dibangunkan untuk memenuhi keperluan Tentera Perancis dan mula diperkenalkan pada tahun 2012 dan digunakan lima tahun kemudian.

 

MMP ialah peluru berpandu pelbagai guna sama ada untuk memusnahkan kereta kebal, kubu atau halangan seperti bangunan dengan jarak sehingga 4,000m 

 

Ia mempunyai kepala peledak cas berbentuk tandem dan menembusi ketebalan perisai keluli setebal 1,000 milimeter.

 

Bagaimana pun berdasarkan penggunaan sejak 20 tahun lalu, sistem Metis-M turut mempunyai kelebihan tersendiri untuk bersaing dengan persenjataan terbaharu.

 

Firma Rusia atau pihak ketiga selaku agen pembekal senjata pasti mencuba peluang untuk membekalkan Metis-M versi terkini.


 

parafrasa
Selain itu difahamkan juga, konflik semasa di Ukraine tidak akan memberi sebarang kesan drastik mengenai perolehan dan penyelenggaraan aset strategik negara.

 

Sebagai sistem persenjataan ATGW-MR yang lasak, latihan yang telah diterima anggota TD selama ini menyaksikan Metis-M dapat dikendalikan dengan baik semasa diuji dalam latihan.

 

Ini kerana secanggih mana pun sesebuah sistem persenjataan, keberkesanan sebenar hanyalah setelah digunakan di medan tempur selain kesesuaian pada pengguna iaitu anggota tentera.

 

Dalam pertempuran, kebijaksanaan penggunaan taktik sangat memainkan peranan. - DagangNews.com