Tentera Darat pindahkan 26 buah kenderaan perisai AV8 Gempita perkukuh pertahanan di Malaysia Timur | DagangNews Skip to main content

Tentera Darat pindahkan 26 buah kenderaan perisai AV8 Gempita perkukuh pertahanan di Malaysia Timur

Pemindahan kenderaan AV8 Gempita ke Sarawak bagi menggandakan keupayaan Tentera Darat.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Aspek pertahanan di Malaysia Timur digandakan apabila Tentera Darat bersetuju melengkapkan pasukan Rejimen Keempat 4 Kor Armor Diraja (4 KAD) di Kuching, Sarawak dengan kenderaan perisai AV Gempita 8x8

 

Ia menerusi pemindahan 26 buah kenderaan perisai tersebut daripada pasukan 1 Kor Armor Diraja (1 KAD) yang berpangkalan di Kuantan, Pahang.

 

Pemindahan aset ini bagi menampung keperluan operasi, latihan dan kompentensi kru 4 KAD, 1 Divisyen dan Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat.

 

Penghantaran kenderaan-kenderaan akan dilaksanakan dalam dua peringkat menggunakan kapal KD Mahawangsa mulai bulan September dan dijangka selesai pada pertengahan Oktober.

 

Kenderaan

 

KAD mempunyai lima buah rejimen yang mana pasukan 4 KAD merupakan satu-satunya rejimen yang berpangkalan di Malaysia Timur.

 

Setiap rejimen dalam mempunyai peranan berdasarkan jenis kenderaan yang dibekalkan sama ada pengangkut anggota berperisai (APC), kenderaan tempur infantri (IFV), kenderaan tempur berperisai (ACV) atau kereta kebal.

 

Pemindahan aset AV8 Gempita ini juga bagi menggantikan kenderaan Radpanzer Condor dan Sibmas 6x6 milik pasukan itu yang telah ditamatkan perkhidmatan.

 

Dua jenis kenderaan ini juga dalam proses penggantian yang mana Kementerian Pertahanan (MINDEF) dijangka memuktamadkan calon pengganti dalam masa terdekat.

 

Kenderaan
Mohd Fazly (tengah) menyaksikan simbolik penyerahan AV8 Gempita Lt Kol Zainal Azli Ismail dari 1 KAD kepada Lt Kol Wong Wai Loong.

 

Sebanyak 460 APC Radpanzer Condor dibeli pada tahun 1981-1984 untuk dioperasikan oleh pasukan KAD dan batalion infantri mekanis. 

 

Turut dibeli ialah 162 buah Sibmas AFSV-90 (Armoured Fire Support Vehicle) dengan meriam kaliber 90mm.

 

Pada Bajet 2023, kerajaan meluluskan perolehan sebanyak RM2.049 bilion untuk membeli 136 kenderaan jenis A 4x4 dan kenderaan jenis B bagi pemodenan Tentera Darat.

 

Justeru, pemindahan 26 buah AV8 Gempita dari Semenanjung ke Sarawak dilihat sebagai tanda bahawa proses untuk perolehan kenderaaan perisai baharu semakin hampir.

 

Kenderaan
Mohd Fazly diberi penerangan tentang kenderaan-kenderaan AV8 Gempita semasa melawat garaj kenderaan.

 

Terdahulu, Pengarah KAD, Brigedier Jeneral Mohd Fazly Mat Said telah menyaksikan acara Perbarisan Serah Terima Kenderaan Perisai AV8 8x8 Gempita di Kem Sunggala, Port Dickson, Negeri Sembilan.

 

Ia disempurnakan antara dua rejimen terlibat menerusi pegawai memerintah masing-masing. - DagangNews.com