KUALA LUMPUR 17 Okt - Teo Seng Capital Bhd. menggantung pengeluaran telur dari Layer Farm 1 dan memberi jaminan ia tidak akan dijual di pasaran domestik mahupun eksport.
Ini berikutan kenyataan yang dikeluarkan Agensi Makanan Singapura (SFA) mengenai 'penarikan balik telur Teo Seng Layer Farm 1 (Malaysia)' yang tercemar akibat kehadiran Salmonella Enteritidis pada Jumaat lalu.
Menurutnya, syarikat akan memastikan siasatan selanjutnya dijalankan terhadap kejadian itu sebagai langkah berjaga-jaga.
"Keselamatan produk sentiasa menjadi keutamaan kami, malah semua lokasi ladang pengeluaran kami berjauhan sebagai langkah untuk mengurangkan pencemaran antara ladang.
"Teo Seng juga mengamalkan ujian makmal secara berkala ke atas pensampelan telur dari setiap ladang bagi memastikan keselamatan produk," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Syarikat itu juga berkata, sehingga kini, semua produk ladang lain telah diuji negatif Salmonella Enteritidis dan ini akan memastikan bekalan telur dari ladang lain selamat untuk dimakan dan tidak terjejas.
"Oleh itu, kami akan berkomunikasi dan bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) untuk menyiasat dan memantau ladang yang didakwa mengesan kehadiran Salmonella Enteritidis," tambahnya.
Malah, ia memberi jaminan, kerjasama penuh akan diberikan kepada penyiasatan untuk mengenal pasti punca utama dan berusaha melakukan tindakan pemulihan yang sesuai untuk memastikan produknya selamat dan menyambung semula penjualan telur dari ladang berkenaan.
Menurutnya, ladang yang didakwa itu menyumbang kira-kira 3.5% daripada jumlah pengeluaran syarikat.
"Sementara siasatan masih dijalankan, lembaga pengarah tidak dapat memastikan jumlah hasil yang terjejas pada masa ini," jelasnya.
Susulan penarikan balik telur keluaran syarikatnya, harga saham Teo Seng dalam dagangan setakat 2.35 petang ini susut 2.5 sen atau 3.38% kepada 71.5 sen dengan 117,100 saham diniagakan. - DagangNews.com