Teo Seng Capital jual kilang bernilai RM29.1 juta di Singapura | DagangNews Skip to main content

Teo Seng Capital jual kilang bernilai RM29.1 juta di Singapura

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Nov - Teo Seng Capital Bhd menjual kilang berkembar dua tingkat pegangan pajak di Singapura dengan harga SG$8.5 juta (kira-kira RM29.41 juta), yang mana hartanah berusia 19 tahun itu masih kurang digunakan, memandangkan kebanyakan eksport telur kumpulan dihantar terus kepada pemborong di negara itu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Teo Seng berkata, pelupusan itu membuka peluang untuk mengukuhkan kecairan dan aliran tunainya, yang boleh disalurkan kepada pembayaran balik pinjaman bank dan modal kerja.

 

 

Teo Seng membeli hartanah itu pada Mei 2015 pada harga SG$8. juta atau kira-kira RM21.55 juta, dan bangunan kilang itu kini diduduki oleh kumpulan itu untuk operasinya di Singapura, termasuk pergudangan, pengedaran dan penjualan telur, serta penyediaan perkhidmatan bilik sejuk dan bilik penyejuk.

 

Pembelinya ialah Rachelle The Rabbit Meadery Pte Ltd, sebuah syarikat pengeluaran alkohol, dengan Wang Xizhu dan Zhao Shuyi masing-masing memiliki 34% kepentingan, Triumph Dream Ltd memegang 20%, dan Tan Hon Liang, Zhao Fang dan Wang Ting masing-masing memiliki 4%.

 

Teo Seng menjangkakan pelupusan itu selesai pada suku ketiga tahun depan. - DagangNews.com