Teo Seng catat untung bersih 7 kali ganda lebih tinggi sebanyak RM155.8 juta pada FY23 didorong peningkatan jualan telur ayam | DagangNews Skip to main content

Teo Seng catat untung bersih 7 kali ganda lebih tinggi sebanyak RM155.8 juta pada FY23 didorong peningkatan jualan telur ayam

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR  20 Feb - Teo Seng Capital Bhd menyaksikan lonjakan tujuh kali ganda dalam keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2023 (FY23) kepada RM155.8 juta berbanding RM21.6 juta dalam tahun kewangan sebelumnya.

 

Pendapatan penternak ayam itu meningkat 16.7% kepada RM761 juta pada tahun dalam tinjauan daripada RM652 juta sebelumnya manakala pendapatan sesaham (EPS) kumpulan berjumlah 53.07 sen berbanding 7.36 sebelumnya, menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Teo Seng menjelaskan bahawa segmen penternakan ayam bagi FY23 mencatat pertumbuhan pendapatan yang positif sebanyak 19.1% kepada RM660 juta daripada RM554.3 juta tahun sebelumnya, disokong harga jualan yang lebih baik dan peningkatan kuantiti jualan telur.

 

Ditambah dengan subsidi telur yang diberikan oleh kerajaan, keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen berkenaan pada FY23 berjumlah RM153.7 juta, sembilan kali ganda lebih tinggi daripada RM16.8 juta tahun sebelumnya.

 

Sementara itu, segmen pelaburan dan perdagangan produk ayam mencatat pendapatan lebih baik sebanyak RM101 juta dalam FY23, menokok 3.4% daripada RM97.7 juta tahun sebelumnya meskipun PBT merosot 28% kepada RM9 juta berbanding RM12.5 juta akibat kos operasi yang lebih tinggi.

 

Teo Seng berkata, ia terus memberi tumpuan terhadap kecekapan pengeluaran yang disokong oleh model pertanian lapisan bersepadu. 

 

“Kami percaya bahawa produk kami kekal di kedudukan baik, didorong peranan telur sebagai salah satu sumber protein yang paling banyak tersedia dan berpatutan serta populasi yang semakin meningkat di negara ini.

 

“Faktor-faktor ini memberikan peluang kepada kumpulan untuk meneruskan pengembangan kapasiti bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Walaupun menghadapi landskap global yang mencabar, kumpulan itu tetap yakin dan teguh dalam menangani cabaran ini disokong  pasukan pengurusan yang mahir dan penggabungan rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam strategi perniagaan.

 

“Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, lembaga pengarah optimistik dengan berhati-hati tentang prestasi masa depan kumpulan, didorong oleh pengembangan berterusan dan komitmen untuk memberikan pulangan yang mampan untuk semua pemegang kepentingan kami,” tambahnya.

 

Saham Teo Seng ditutup tinggi 12 sen atau 5.5% pada RM2.30 hari ini, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM690 juta. - DagangNews.com