Terbitan pertama sukuk wakalah TNB bernilai RM3 bilion terlebih langganan | DagangNews Skip to main content

Terbitan pertama sukuk wakalah TNB bernilai RM3 bilion terlebih langganan

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Terbitan pertama nota kewangan jangka sederhana Islam Tenaga Nasional Berhad (TNB) RM3 bilion di bawah Program Sukuk Wakalah dengan nilai nominal sehingga RM10 bilion mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelabur dalam dan luar negara.

 Tawaran itu berjaya ditetapkan pada 29 Julai 2020 selepas proses rundingan selama satu hari dan telah berjaya menarik minat pelbagai pelabur dalam pasaran modal, meskipun dalam keadaan pasaran global yang mencabar dan kesan daripada wabak COVID-19.

 Terbitan Sukuk ini terlebih langgan hampir 4 kali dengan permintaan pada jumlah keseluruhan langganan RM7.82 bilion diterima pada kemuncak proses rundingan daripada lebih 41 akaun melibatkan pengurus dana, firma insurans hayat, dana persaraan, bank dan syarikat korporat.

``Disebabkan strategi rundingan yang cemerlang dan permintaan kukuh yang diterima ketika rundingan, Tawaran telah ditingkatkan ke RM3 bilion,'' kata TNB dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehingga kini, tawaran ini adalah terbitan AAA korporat terbesar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dikuatkuasakan bagi menghadapi pandemik COVID-19.

Ia juga adalah terbitan yang mempunyai tempoh matang terpanjang (20 tahun) yang diterbitkan oleh syarikat korporat tahun ini, seterusnya mencerminkan permintaan tinggi pelabur untuk penawaran kredit yang berkualiti tinggi seperti TNB. Program Sukuk Wakalah telah diberi penarafan AAA oleh RAM Rating Services Berhad.

Mengulas mengenai kejayaan penawaran Sukuk tersebut, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Kami amat berpuas hati dengan sambutan daripada pelabur terhadap transaksi ini dan harga yang ditetapkan bagi ketiga-tiga bahagian (tranches) Sukuk kebanyakannya berada dalam lingkungan harga dagangan pasaran sekunder bagi sukuk TNB yang lain.
 

tnh
                                                                                        AMIR HAMZAH AZIZAN


``Malah, dalam tranche tertentu, ia adalah jauh lebih baik daripada kadar pasaran sukuk TNB sedia ada. Permintaan yang tinggi daripada pelabur adalah petanda jelas keyakinan pasaran modal terhadap TNB dan kelestarian jangka panjang perniagaan TNB,” katanya.

Hasil daripada terbitan Sukuk ini akan digunakan TNB untuk tujuan am korporat, termasuk modal kerja dan perbelanjaan modal sukuk TNB yang lain. - DagangNews.com