Terbitan tahunan Cagamas cecah RM19.2 bilion, tertinggi sejak 2002 | DagangNews Skip to main content

Terbitan tahunan Cagamas cecah RM19.2 bilion, tertinggi sejak 2002


KUALA LUMPUR 21 Dis - Cagamas Bhd, perbadanan gadai janji negara, memaklumkan terbitan agregatnya pada 2021 meningkat sebanyak 65% tahun ke tahun kepada RM19.2 bilion, iaitu terbitan tahunan tertingginya sejak 2002.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, ia turut mengumumkan terbitan agregat Kertas Komersial Konvensional (CCP) tiga bulan bernilai RM900 juta dengan hasilnya akan digunakan untuk membiayai pembelian pinjaman perumahan daripada sistem kewangan.

 

Menurut Cagamas, harga CCP ialah pada kadar penanda aras Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) tiga bulan  ditambah tiga mata asas (bps), berdasarkan penetapan KLIBOR pada tarikh penentuan harga, mewakili tebaran 24 mata asas melebihi Bil Perbendaharaan Malaysia.

 

Cagamas berkata, kertas-kertas berkenaan yang akan ditebus apabila mencapai tempoh matang, adalah obligasi tidak dijamin syarikat itu dan pada kedudukan
setara dalam kalangannya serta obligasi lain seumpamanya.

 

"Ia akan disenarai dan diniagakan di bawah sistem urus niaga sekuriti tanpa skrip, katanya.

 

BERITA BERKAITAN: Cagamas lancar Skim Saraan Bercagar bantu warga emas dengan dana RM100 juta

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Chung Chee Leong berkata, syarikat berbesar hati dapat mengakhiri tahun ini dengan satu lagi terbitan yang berjaya, menjadikan terbitan agregat bagi tahun ini kepada RM19.2 bilion, 65% lebih tinggi daripada tahun sebelumnya.

 

“Kami berharap 2022 akan menjadi tahun yang lebih baik kerana dunia menuju kepada pemulihan ekonomi meskipun dengan kemunculan varian Omicron baru-baru
ini, yang mungkin menimbulkan risiko penurunan kepada pemulihan,” katanya. - DagangNews.com