LANDSKAP dunia pendidikan sentiasa berubah dan kini bergelora dan menjangkau sempadan yang belum diterokai dengan perkembangan pesat teknologi baharu berasaskan kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI).
Akses kepada pelbagai pengetahuan kini menjadi lebih mudah dan pantas. Anjakan sempadan pengetahuan menjadi lebih jauh di mana kini ramai dapat mengakses komuniti pembelajaran global melalui penggunaan teknologi atas talian.
Pengetahuan kini seolah-olah menjadi lebih demokratik kerana sesiapa sahaja dapat memperolehi ilmu tersebut tanpa mengira sempadan.
Hari ini, AI sangat popular kerana manusia kini cenderung kepada penyelesaian yang cepat.
Apa yang menarik adalah keupayaan kepintaran buatan ini mensimulasi dan meniru kepintaran manusia yang diproses oleh mesin terutamanya sistem komputer dan menghasilkan keputusan yang bijak.
Oleh kerana jumlah data yang dihasilkan oleh manusia dan mesin melebihi jangkauan kebolehan manusia untuk memahami dan menganalisis maka bagi membuat keputusan berdasarkan data-data tersebut, maka kepintaran buatan ini diperlukan.
Penggunaan kecerdasan buatan ini selain membantu menganalisis data dengan laju, ia juga membantu mencari dan mengakses maklumat yang diperlukan dengan mudah.
Apabila Malaysia penggunaan AI sebagai penyampai berita, tercetus kebimbangan terhadap persaingan pekerjaan.
Penggunaan AI di bilik berita yang terhasil dengan komputer ultra-realistik di Malaysia mencipta Joon dan Monica.
Hal yang sama juga berlaku di bilik berita di China yang mengguna pakai AI sebagai penyampai berita dan diberikan nama Xiaomeng, Kuwait sebagai Fedha dan juga di Indonesia iaitu Ren.
Dalam masa yang sama, laporan oleh Menteri Sumber Manusia terkini menyatakan akibat dari perkembangan AI seramai 4.5 juta rakyat Malaysia berkemungkinan hilang pekerjaan menjelang 2030, sekiranya mereka tidak meningkatkan kemahiran (reskilling) dan melaksanakan latihan semula (upskilling).
Walaupun ini adalah satu jangkaan, namun hal ini merupakan satu isu kebimbangan terhadap kemajuan dan penggunaan AI yang boleh meminimumkan keperluan tenaga manusia dalam bidang pendidikan.
Kecerdasan buatan boleh menggantikan manusia dalam melaksanakan sesuatu tugasan termasuk tugasan mengajar. Oleh yang demikian adalah wajar untuk kita memberikan ruang kepada perbincangan kegunaan kecerdasan buatan dengan fokus kepada dunia akademik.
Dari perspektif positif, dunia pendidikan menjadi lebih menarik kerana kaedah pembelajaran dan pengajaran yang inovatif dan kreatif berlaku apabila hubungan antara teknologi dan pengetahuan saling melengkapi.
AI yang merupakan sebahagian dari teknologi merupakan hasil ciptaan manusia, sementara pada masa sama yang telah merupakan wadah untuk menjana dan memperluas pengetahuan.
Terdapat banyak aplikasi yang mengaplikasi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) digunakan dalam dunia pendidikan untuk membantu pendidik dan pelajar.
Sebagai contoh, Canva dan Microsoft Designer adalah perisian yang membantu pengguna membuat bahan visual seperti poster dan carta. ChatGPT adalah platform yang membantu penggunanya mencari jawapan bagi soalan yang dikemukakan.
Grammarly pula adalah perisian yang digunakan untuk memastikan tugasan yang ditulis dalam Bahasa Inggeris dapat dihasilkan dengan menggunakan tatabahasa yang tepat serta bermutu dan bebas dari kesalahan ejaan. Perisian Quilbolt pula dapat membantu proses penyusunan semula ayat bagi menghasilkan laporan yang berkualiti.
Penggunaan AI dapat membantu guru mengadaptasi pendekatan pengajaran yang lebih interaktif di mana ia dapat meningkatkan keterlibatan dan motivasi pelajar di dalam kelas.
Sebagai contoh, penggunaan aplikasi pembelajaran melalui permainan komputer yang bersifat interaktif. Pelajar akan merasa lebih seronok untuk belajar kerana dengan bantuan AI guru mampu menyediakan pengalaman pembelajaran yang berbeza dan lebih menarik.
Dari satu aspek lain pula, prestasi pelajar dapat ditingkatkan memandangkan pemantauan prestasi pelajar merupakan salah satu cara yang penting untuk menentukan kemajuan pembelajaran seseorang pelajar.
Melalui sistem yang dibangunkan dengan bantuan AI, para guru berkemampuan untuk menilai kemajuan pelajar secara automatik dan memberi maklum balas yang tepat dan dapat mengenal pasti aspek-aspek yang perlu diberi penambahbaikan.
Kendatipun penggunaan aplikasi yang berlandaskan kecerdasan buatan berpotensi merevolusikan pendidikan dengan meningkatkan pengalaman belajar dan tugasan pengajaran, adalah penting untuk mengenal pasti dan mempertimbangkan kekurangannya juga.
Berikut adalah beberapa kelemahan AI dalam pendidikan apabila berlaku pergantungan yang tinggi pada penyelesaian yang dikuasakan AI.
1. Rencat kreativiti pelajar
Dalam jangka panjang, kebergantungan berlebihan kepada AI ini boleh mengakibatkan pengabaian kaedah pengajaran tradisional yang tidak kurang dari segi kepentingannya. Ia juga secara umumnya menyumbang kepada perencatan kreativiti, pembangunan pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah dalam kalangan pelajar.
Penyelesaian terhadap permasalahan atau jawapan kepada soalan berkaitan pelajaran tidak difikirkan sendiri oleh pelajar tetapi lebih berminat mencari jawapan mudah dihujung jari.
Keupayaan pelajar untuk berinteraksi dan berbincang bersemuka juga akan terhad yang boleh melibatkan aspek kerjasama berkumpulan dan skil interaksi sosial terencat.
Sistem AI direka berdasarkan algoritme dan data yang diprogramkan, yang mungkin membatasi penyesuaiannya dengan keperluan pelajar individu sekiranya kaedah yang digunakan adalah secara menyeluruh tanpa pemantauan yang teliti.
2. Etika Akademik
Pelajar mempunyai gaya dan kebolehan pembelajaran yang pelbagai, dan AI mungkin tidak selalu dapat mengatasi perbezaan ini dengan berkesan. Ini juga bermakna ia membatasi ruang lingkup kreativiti dan menyekat kemampuan pelajar untuk meneroka pendekatan alternatif atau minat individu. Sekiranya isu ini tidak diambil berat maka motivasi dan minat segelintir pelajar akan diabaikan.
Sistem AI dalam pendidikan juga menimbulkan masalah etika akademik. AI dapat memudahkan kecurangan dan penipuan dengan memberi pelajar akses mudah jawapan atau karangan yang telah ditulis sebelumnya.
Ini menimbulkan kebimbangan mengenai integriti akademik dan tanggungjawab moral kedua-dua pelajar dan institusi pendidikan untuk menegakkan amalan yang jujur dan adil. Institusi perlu melaksanakan langkah-langkah yang kuat untuk mengesan dan mencegah kecurangan yang difasilitasi oleh alat AI.
3. Harta intelek/ Hak cipta
Algoritma AI dapat menghasilkan kandungan yang menyerupai karya buatan manusia, seperti esei, makalah penyelidikan bahkan karya seni. Ini mengaburkan garis harta intelek atau hak cipta seseorang individu.
Hal ini menimbulkan persoalan mengenai pengarang yang asal, pemilikan dan implikasi etika menggunakan kandungan yang dihasilkan AI tanpa atribut atau izin yang betul.
Institusi akademik perlu menetapkan garis panduan dan dasar mengenai penggunaan kandungan yang dihasilkan oleh AI untuk melindungi hak harta intelek. Kaedah pengesanan plagiarisme diperlukan bagi mengatasi masalah ini.
4. Kredibiliti
Para akademik tidak sunyi dengan penglibatan dalam penyelidikan di mana berlaku perkongsian dan kolaborasi data. Oleh kerana keupayaan AI yang luar biasa dalam mencerna data raya maka memudahkan perkongsian dan kolaborasi data di antara penyelidik, memungkinkan kemajuan yang lebih cepat dan mencipta pandangan baru.
Walau bagaimanapun, etika akademik mesti memastikan bahawa protokol dan mekanisme persetujuan yang betul wujud untuk melindungi harta intelek dan menghormati hak penyelidik yang berkongsi data dan maklumat mereka.
Selaras dengan itu juga peningkatan kandungan yang dihasilkan oleh AI, seperti abstrak automatik, ringkasan, dan bahkan makalah penyelidikan yang dihasilkan perlu dinilai dan disahkan kredibiliti dan ketepatan kandungan yang dihasilkan oleh AI sebelum memasukkannya ke dalam karya mereka.
Keseimbangan
Sebagai rumusan, sangat penting untuk mencapai keseimbangan antara penggunaan AI dan penglibatan manusia dalam pendidikan agar tidak tercarik fabrik keyakinan terhadap dunia akademik.
Penggunaan teknologi AI perlu ditetapkan arah kemudi dan perlu dirancang dan dilaksanakan dengan mempertimbangkan implikasi etika dan sosial dengan teliti.
Ringkasnya, AI telah mempengaruhi etika akademik dengan pelbagai cara. Hal ini memerlukan pertimbangan baru yang berkaitan dengan pengesanan, penilaian, kepengarangan, tentangan etika, komunikasi, perkongsian data, dan penyesuaian terhadap kandungan yang dihasilkan oleh AI.
Institusi dan individu akademik mesti menjalani perubahan ini sambil menegakkan prinsip asas integriti akademik dan tingkah laku etika. - DagangNews.com
Dr. Marziah Mokhtar adalah Pensyarah Kanan (Ekonomi), Zaidi Yacob adalah Pensyarah Kanan Biologi, Pusat Asasi dan Ezathul Zerafena Mohd Ris adalah Pensyarah Bahasa (Inggeris) di Pusat Asasi, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil