Terengganu Inc Sdn Bhd sediakan aktiviti pelajar luar bandar teroka program aeroangkasa | DagangNews Skip to main content

Terengganu Inc Sdn Bhd sediakan aktiviti pelajar luar bandar teroka program aeroangkasa

Program perintis aeroangkasa tajaan Terengganu Inc berjaya melahirkan bakat baharu pelajar dalam matapelajaran STEM - Gambar Terengganu Inc
Oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 18 Jan - Inisiatif yang dilaksanakan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) dalam mencungkil bakat pelajar luar bandar melalui pendidikan aeroangkasa bermula Jun 2023, mendapat sambutan memberangsangkan.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi berkata, program pendidikan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) yang pertama kali dirintis oleh Sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, Marang itu juga membuka mata lebih banyak pelajar untuk menerokai bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

 

Menurutnya, program yang dilaksanakan Terengganu Inc itu juga berjaya membuahkan hasil dengan beberapa kejayaan yang telah dilakar sekolah tersebut sepanjang tahun lalu.

 

"Alhamdulillah, SMK Bukit Sawa telah dinobatkan sebagai juara 'KPM Drone Challenge Peringkat Negeri Terengganu' untuk tahun 2023 dan tempat keenam untuk peringkat kebangsaan.

 

"Ini adalah satu prestasi yang sangat membanggakan kami kerana matlamat untuk menjadikan Terengganu sebagai hab pengeluar tenaga mahir dalam bidang aeroangkasa pasti akan tercapai tidak lama lagi," katanya kepada DagangNews.com hari ini.


 

terengganu inc
Burhanuddin Hilmi (belakang, tiga dari kanan) bersama pelajar SMK Bukit Sawa yang terpilih sebagai peserta program aeroangkasa tajaan Terengganu Inc.

 


Program TI-BSaS Aeronautics UAV in School yang dilaksanakan di SMK Bukit Sawa itu dijalankan selama empat tahun bermula 2023 hingga 2026 dengan sokongan kewangan sebanyak RM45,000 daripada Terengganu Inc sebagai tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).

 

Ia bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar luar bandar untuk meningkatkan prestasi matapelajaran STEM dan mengembangkan lagi kemahiran mereka dalam revolusi industri 4.0 (IR4.0).


 

terengganu inc

 

terengganu inc

 

terengganu inc

 


Sementara itu, Pengetua SMK Bukit Sawa, Mohd Suberi Abdullah berkata, program itu telah dirangka bersama Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) bagi memberi pendedahan sepenuhnya kepada pelajar berkenaan industri UAV.

 

"Kami sangat berterima kasih kepada penaja utama iaitu Terengganu Inc, PIBKS (Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta) Terengganu, Tinjau Mahir Sdn Bhd dan juga dua rakan teknikal iaitu UniKL MIAT dan Deftech Unmanned Systems.

 

"Setakat ini, program ini telah berjaya melatih seramai empat orang juruterbang UAV untuk menerbangkannya secara solo dalam mode penerbangan manual tanpa bantuan daripada Autopilot module.

 

"Peserta program juga telah berjaya mereka bentuk, membina dan menerbangkan sebuah UAV untuk tujuan latihan penerbangan dan pengaturcaraan Autopilot," katanya yang berharap lebih ramai pemain industri aeroangkasa menyokong program tersebut dalam bentuk kewangan dan juga teknikal bagi memastikan ia dapat diteruskan pada masa depan.


 

terengganu inc

 

terengganu inc

 

terengganu inc

 


Dalam pada itu, Guru Penasihat Bsas Aeuronautics, Badrul Hisyam Zakaria berkata, bagi sesi 2023/2024, seramai empat orang guru dan 17 pelajar  terlibat dalam pengoperasian aktiviti-aktiviti program seperti pembelajaran dalam kelas (teori), pembinaan pesawat, ujian dan latihan penerbangan.

 

"Setiap tahun kami mengambil 10 orang peserta dari kalangan pelajar Tingkatan Satu yang melepasi ujian teknikal dan juga psikometrik untuk menyertai program ini.

 

"Kami komited menyediakan pelajar yang kompeten untuk meneruskan pelajaran dalam bidang aeroangkasa melalui rakan teknikal kami iaitu UniKL MIAT untuk mengambil kursus yang melayakkan mereka untuk menjadi LAE ( Licensed Aircraft Engineer).

 

"Bagi pelajar yang lebih cenderung untuk menjadi juruterbang, kami akan berusaha untuk menyediakan dan menempatkan mereka ke program Cadetship Pilot sama ada di Air Asia atau Malaysia Airlines," katanya.- DagangNews.com