KUALA LUMPUR 16 Dis - Akademi Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Rasuah di Malaysia, Akademi Amlac, meraikan 17 graduan pertamanya yang berjaya melengkapkan Diploma Profesional Pengurusan Anti Rasuah Korporat (PD CAM).
Program berkenaan merupakan usaha kerjasama antara Akademi Amlac, Kuala Lumpur International Education Consortium (KLIEC), UTMSPACE dan Lembaga Peperiksaan London (LEB).
PD CAM adalah kursus selama enam bulan yang direka menggunakan kaedah latihan industri dan diketuai oleh pakar yang membimbing peserta dalam program, pendidikan, latihan dan penyelidikan yang mampan bertujuan memupuk integriti dan memerangi rasuah.
Kumpulan pertama graduan tersebut termasuk tiga pemilik perniagaan terkemuka Malaysia yang turut memegang jawatan tinggi dalam sektor korporat, menerima skrol PD CAM mereka di London, pada bulan lalu.
Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang juga Presiden Akademi Amlac, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya komited untuk membentuk sistem kewangan yang telus, selamat dan bebas daripada rasuah.
"Akademi ini ditubuhkan untuk mendidik profesional tentang cara memerangi rasuah dan kami percaya setiap profesional perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan berkaitan pencegahan rasuah.
"Kami berbangga kerana program PD CAM ini diiktiraf di peringkat antarabangsa, iaitu daripada LEB," katanya dalam satu kenyataan.
PD CAM ialah program diploma enam bulan dengan 36 jam kredit, yang merangkumi subjek utama seperti Undang-undang Pencegahan Rasuah Malaysia, Undang-undang Pencegahan Pengubahan Wang Haram Malaysia, Pengurusan Risiko Rasuah, Liabiliti Korporat dan banyak lagi.
Direka bentuk untuk profesional dan organisasi, program berkenaan menyediakan kemahiran dan pengetahuan praktikal untuk menangani jenayah kewangan dan rasuah dengan berkesan.
Pengambilan pelajar 2025 Akademi Amlac kini dibuka untuk pendaftaran. - DagangNews.com