KUALA LUMPUR 12 Nov - Peneraju dalam penjagaan kesuburan, Alpha IVF Group Berhad (Alpha IVF) memperluas operasi di Singapura susulan peningkatan permintaan untuk rawatan kesuburan berkualiti tinggi.
Dengan pelantikan tiga lagi pakar ke pusat IVF Alpha IVF di Singapura, Alpha IVF menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pesakit dan memperluaskan kadar kejayaannya bagi menyokong lebih ramai keluarga dalam perjalanan menjadi ibu dan bapa.
Pakar-pakar yang baru dilantik ialah Dr. Yu Su Ling, seorang pakar IVF terkemuka dengan lebih 30 tahun pengalaman, terkenal dengan kerja beliau dalam bidang IVF, menopaus dan endokrinologi ginekologi, yang sebelum ini berkhidmat di Pusat Reproduksi Terbantu Hospital Besar Singapura.
Beliau kini berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Klinikal Alpha IVF Centre Singapura.
Selain itu, Dr. Chua Ka-Hee, seorang pakar dalam bidang kesuburan dan andrologi, membawa pengalaman lebih 15 tahun dengan pendekatan berpusatkan pesakit dalam penjagaan reproduktif, sementara Dr. Lily Kho Chye Lee, dengan lebih satu dekad pengalaman dalam penjagaan ibu, pembedahan ginekologi dan kesuburan, berdedikasi untuk menyediakan penjagaan yang penuh kasih sayang dan menyeluruh.
Pakar lain adalah Dr. Tan Heng Hao (Pakar Kesuburan) dan Dr. Timothy Lee (Pakar Ginek-Onkologi).
Memandangkan kadar kesuburan Singapura mencatatkan tahap terendah dalam sejarah iaitu 0.97 pada 2023, keperluan perkhidmatan kesuburan yang boleh dipercayai dan maju kini lebih penting berbanding sebelumnya.
Untuk membantu menangani isu sosial yang mendesak itu, pasukan Alpha Singapura yang diperluas bertujuan untuk menawarkan pilihan rawatan yang inovatif dan berkesan kepada semakin ramai pasangan, selaras dengan inisiatif kerajaan untuk menggalakkan pasangan berkahwin mempunyai anak.
Pengarah Urusan Kumpulan Alpha IVF Group Berhad, Dato' Dr. Colin Lee Soon Soo berkata, beliau teruja menyambut pakar-pakar baharu ke institusinya.
"Penambahan pakar-pakar terkemuka ini bukan sahaja menguatkan pasukan perubatan kami, tetapi juga membawa kepakaran yang sangat berharga yang akan meningkatkan lagi perkhidmatan rawatan kami, selaras dengan komitmen untuk memberikan penjagaan yang luar biasa kepada pesakit.
"Seiring dengan usaha untuk memajukan perkhidmatan kesuburan, kami berharap impak positif yang akan dibawa oleh pakar-pakar ini dalam menyokong keluarga di Singapura yang memulakan perjalanan mereka ke arah keibubapaan," katanya dalam satu kenyataan.
Pakar-pakar yang baru dilantik mula bertugas di Alpha IVF & Women’s Specialists Centre pada 1 November 2024, menjadikan Alpha Singapura satu daripada pusat IVF terbesar di Singapura dengan lima orang doktor dan kapasiti tahunan sehingga 1,000 kitaran IVF.
Kumpulan tersebut komited untuk menarik bakat bertaraf dunia, meningkatkan reputasi mereka dalam penjagaan kesuburan, dan meletakkan Alpha IVF sebagai pemain serantau dalam industri berkenaan.
Setakat ini, Alpha IVF mengendalikan satu pusat IVF di Singapura, tiga pusat IVF di Malaysia, sebuah pejabat wakil jualan di China dan bakal membuka fasiliti di Indonesia dan Filipina. - DagangNews.com