AM Best naikkan penarafan kredit penerbitan jangka panjang Tune Protect Re Malaysia | DagangNews Skip to main content

AM Best naikkan penarafan kredit penerbitan jangka panjang Tune Protect Re Malaysia

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 17 Dis - Agensi penarafan kredit global, AM Best, menaikkan penarafan kredit penerbitan jangka panjang (ICR) Tune Protect Re Ltd (TPR) Malaysia kepada 'bbb+' (baik) daripada 'bbb' (baik) dan mengesahkan penarafan kekuatan kewangan (FSR) B++ (baik). 

 

Ia turut mengubah unjuran jangka panjang ICR kepada stabil daripada positif, manakala unjuran FSR kekal stabil.

 

"Penarafan kredit ini mencerminkan kekuatan kunci kewangan TPR, yang dinilai sebagai kukuh, serta prestasi operasi yang kuat, profil perniagaan yang terhad dan pengurusan risiko perusahaan yang sesuai," kata AM Best dalam satu kenyataan. 

 

Jelas kenyataan itu lagi, peningkatan ICR jangka panjang mencerminkan peningkatan dalam prestasi operasi syarikat pada tempoh terkini. 

 

Tambahnya, walaupun mencatatkan pertumbuhan premium yang tidak stabil dan pendapatan operasi semasa pandemik Covid-19, pertumbuhan operasi insurans perjalanan kini kembali normal, menghasilkan prestasi yang lebih stabil.

 

Pada tahun 2023, TPR mengikut pengiraan AM Best, melaporkan nisbah gabungan (net-net) yang kukuh sebanyak 84.6 peratus dan nisbah pulangan ke atas ekuiti sebanyak 16.4 peratus.

 

Dalam tiga suku pertama tahun 2024, prestasi operasi TPR kekal menggalakkan, disokong oleh keuntungan teknikal yang kukuh dan prestasi pelaburan yang baik.

 

Kekuatan kunci kewangan TPR disokong oleh permodalan yang diselaraskan dengan risiko, yang dijangka kekal pada tahap terkuat dalam tempoh sederhana, seperti yang diukur melalui Nisbah Kecukupan Modal Best. 

 

Syarikat tersebut mengekalkan portfolio pelaburan yang konservatif, sebahagian besar terdiri daripada dana amanah unit dengan sekuriti pendapatan tetap berkualiti tinggi. 

 

Bagaimanapun, asas modal mutlak syarikat yang sederhana sebanyak RM146.79 juta pada akhir 2023, berbanding dengan syarikat lain, mendedahkan TPR kepada kemungkinan turun naik dalam senario tekanan.

 

Analisis kekuatan kunci kewangan AM Best juga mengambil kira impak neutral daripada syarikat induknya, Tune Protect Group Berhad (TPG).

 

Walaupun profil perniagaan TPR dianggap terhad memandangkan kedudukannya sebagai syarikat re-insurans yang memberi tumpuan kepada produk insurans berkaitan perjalanan, ia mendapat manfaat daripada penggunaan platform teknologi dalaman TPG untuk menyokong dan mengedarkan polisi bersama rakan korporat, termasuk syarikat penerbangan dan ejen pelancongan. 

 

Dalam tempoh sederhana, TPR dijangka menunjukkan pertumbuhan dalam jumlah atau nilai polisi insurans yang diterima dan disahkan. - DagangNews.com