KUALA LUMPUR 23 Okt - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) 42 sen terhadap Alpha IVF, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 28 kali pada FY25.
Katanya, ramalan pendapatan Alpha IVF kekal tidak berubah kerana untung bersih teras kumpulan itu pada suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25) mencecah anggaran firma tersebut.
"Hasil dan keuntungan bersih Alpha IVF lebih rendah pada 1QFY25 akibat kesan asas yang tinggi pada 4QFY24 kerana musim perayaan dalam 3QFY24 yang mendorong pesakit menangguhkan kitaran rawatan IVF kepada 4QFY24.
"Secara positif, margin kasar Alpha IVF 1QFY25 kekal kukuh pada 59.7% berbanding 58.1% pada FY24 dan 55.7% pada FY23 didorong oleh sumbangan pesakit asing yang tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, kes Oocyte Pick Up (OPU) mencecah jumlah 770 pada 1QFY25 iaitu lebih rendah berbanding 4QFY24 pada 863.
"Walau bagaimanapun, kami tidak bimbang tentang penurunan kes OPU kerana kami mendapati Alpha IVF sedang berusaha mengambil pakar Obstetrik dan Ginekologi baharu dengan pangkalan pelanggan besar yang akan meningkatkan penggunaan kapasiti pada masa hadapan," katanya.
Pada masa ini kadar penggunaan tersirat adalah kira-kira 38.5% berdasarkan bilangan tahunan kes OPU dalam 1QFY25.
Selain itu, Alpha IVF merancang untuk membuka dua pusat OPU yang akan beroperasi sepenuhnya, pada FY25 dan FY26.
AmInvest yakin dengan pertumbuhan jangka panjang syarikat, didorong oleh pertumbuhan berterusan pesakit asing kepada operasi Malaysia, permulaan pusat baharu yang lengkap di Malaysia, Filipina dan Indonesia serta permulaan pejabat perwakilan baru di China dan klinik satelit di Indonesia. - DagangNews.com