KUALA LUMPUR 11 Nov - Destini Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Destini Prima Sdn Bhd (DPSB) memnenangi kontrak RM33.05 juta daripada Kementerian Pertahanan bagi menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan peralatan keselamatan bawaan udara.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, kerja-kerja penyelenggaraaan dalam kontrak tiga tahun itu bermula hari ini sehingga 10 November 2027.
Katanya, kumpulan itu dikehendaki menyediakan bon prestasi sebanyak RM550,800 dan melaksanakan ‘Latihan dan Pendidikan Profesional bagi Usahawan Berkembang - Sedia Bekerja’, satu inisiatif kebangsaan yang bertujuan untuk kesediaan tenaga kerja.
Dalam satu kenyataan berasingan, penyedia rumusan kejuruteraan bersepadu itu berkata, kontrak baharu tersebut telah mendorong buku pesanan kumpulan melebihi RM800 juta, meningkatkan keterlihatan pendapatannya sehingga 2027 dan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dalam pertahanan negara.
Pengarah Eksekutif Destini, Ismail Mustaffa menjangkakan kontrak itu memberi kesan yang positif pada prestasi kewangan kumpulan.
"Kontrak itu dijangka akan menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan dan peningkatan aset bersih kumpulan bermula dari tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 dan sepanjang tempoh kontrak.
"Buku tempahan semasa kami telah berkembang kepada sekitar RM824 juta dan buku tender kami adalah kira-kira RM777 juta," katanya.- DagangNews.com