KUALA LUMPUR 8 Nov - Penyedia pengurusan modal insan, Ramssol Group Bhd memaklumkan, anak syarikatnya di Thailand meraih kontrak bernilai RM35.61 juta untuk melaksanakan projek rumusan kesihatan berasaskan kecerdasan buatan (AI) di sebuah hospital.
Menurut kontrak tersebut, GeekStart Company Ltd (GeekStart) dilantik oleh Multi Distribution Services Company Ltd sebagai rakan perkhidmatan hospital dalam pelaksanaan sistem kesihatan bersepadu AI untuk perkhidmatan pesakit luar dan kecemasan di sebuah bangunan tujuh tingkat yang terletak di sebuah wilayah selatan Thailand.
"Kontrak ini sejajar dengan strategi syarikat dan usaha berterusan untuk mengembangkan perniagaan teknologi pembangunan perisian, serta dijangka memberikan aliran pendapatan tambahan dan memperkukuhkan asas pendapatan syarikat dan anak syarikatnya, yang seterusnya diharap dapat meningkatkan prestasi kewangan kumpulan dan nilai pemegang saham," kata Ramssol dalam satu kenyataan.
Projek tersebut melibatkan integrasi alat digital canggih, termasuk sistem pengurusan pesakit pintar dan penggunaan sumber berasaskan AI, untuk meningkatkan kecekapan serta mempermudah proses daftar masuk, penilaian awal dan pengurusan katil secara masa nyata.
Selain itu, ciri teleperubatan dan pemantauan jarak jauh akan menyokong penjagaan selepas pesakit dibenarkan keluar dari hospital, memperkayakan pengalaman keseluruhan pesakit, kata Ramssol.- DagangNews.com